KUALA LUMPUR, 30 JAN: MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berharap agar penglibatan wanita di peringkat kementerian dapat dipertingkatkan selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.

Gesaan ini dilontarkan ekoran perhatian kecil yang diberikan kini oleh pentadbiran Umno-BN sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa memangku jawatan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti.

Menurutnya, perlaksanaan tidak menyeluruh yang diamalkan kerajaan kini mengakibatkan beberapa perkara dibuat tanpa memikirkan mengenai wanita.

“Apabila menang di Putrajaya salah satu cadangan saya setiap kementerian perlu ada wanita sama ada jawatan menteri atau timbalan menteri.

“Ini kerana untuk memastikan agenda wanita yang kita rancangkan bersama dapat dilaksanakan,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Kutipan Dana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) anjuran PKR Lembah Pantai semalam.

Agenda Wanita Malaysia yang diperkenalkan Wanita Pakatan Rakyat pada April tahun lalu mengariskan beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan apabila PR berjaya mentadbir negara.

Antaranya adalah caruman berjumlah RM 50 sebulan atau RM 600 setahun untuk golongan suri rumah yang berpendapatan isi rumahnya kurang daripada RM 1,500 sebagai simpanan masa depan.

Selain itu, satu Suruhanjaya Anti-Keganasan Rumah Tangga bakal ditubuhkan bagi melindungi golongan wanita yang sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Sementara itu, MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menegaskan, penglibatan wanita penting dalam arena politik negara dalam usaha membawa perubahan kepada Malaysia.

“Kenapa wanita perlu bersama (dalam membawa perubahan)?

“Kita mahu membina Malaysia yang lebih selamat, baik dan untuk rakyat. Bukannya kroni,” ujar Nurul Izzah.

Tambah Nurul Izzah, komitmen yang dibawa oleh PR bukan sahaja ingin memacu negara ke arah lebih baik malah terus mempertahankan hak wanita.

Majlis makan malam yang berlangsung di Dewan Himpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, MP Seputeh, Teresa Kok dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Hadirin turut dihiburkan dengan penampilan khas penyayi terkenal negara Aishah.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top