PETALING JAYA, 7 JAN : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan menggemblengkan 300,000 penyokong sebagai usaha untuk menghimpunkan sejuta rakyat di Kuala Lumpur pada Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini,

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, PR Selangor sentiasa komited terhadap usaha menggembleng suara rakyat bagi menyatakan pendirian berhubung isu pentadbiran negara, ekonomi, alam sekitar dan pilihan raya.

Justeru katanya, himpunan yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka itu nanti merupakan wahana bagi rakyat untuk menyatakan pendirian mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Umno-BN.

“Sehubungan itu, Pakatan Rakyat Selangor akan melakukan mobilasi rakyat untuk bersama-sama dalam himpunan ini yang bertunjangkan prinsip demokrasi, kebebasan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok dan Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Dr Rani turut menggesa agar peserta bergerak ke Kuala Lumpur sehari awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Sementara itu, Teresa yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor mengesahkan sehingga kini, tiada respon daripada polis mahupun pihak Stadium Merdeka berhubung kebenaran untuk mengadakan himpunan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, himpunan itu akan tetap dijalankan seperti yang dirancang di kawasan stadium walaupun tiada maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Sebelum ini Perdana Menteri pernah beritahu sekiranya ingin mengadakan himpunan, kita boleh menggunakan stadium.

“Tetapi apabila kita sudah buat permohonan, tiada maklum balas yang diberi. Kita ingin lakukan secara aman, tetapi ia sering dijadikan provokasi oleh sesetengah pihak,” katanya.

Penganjur mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top