KUALA LUMPUR 21 JAN : Kononnya atas arahan pihak atasan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), kira-kira 4,000 penduduk di Pangsapuri Cendana di sini terpaksa menanggung kenaikan tarif air sehingga 73 peratus dari kadar biasa yang dikenakan.

Itu alasan yang diterima daripada Syabas ketika penduduk menyuarakan bantahan terhadap kenaikan tarif air itu, jelas Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Cendana, Zulfa Asri Zulkifli.

Menurut Zulfa Asri, ini berlaku selepas Syabas menukarkan klasifikasi pangsapuri mereka.

Di dalam satu surat bertarikh 10 Januari, Syabas telah mengklasifikasikan pangsapuri mereka sebagai sebagai rumah pangsa kos sederhana rendah yang sepatutnya dikenakan caj air 80 sen setiap metre padu.

Akan tetapi di dalam surat yang sama, Syabas mengenakan caj tarif air kepada mereka seperti caj tarif yang dikenakan kepada apartment atau kondominium iaitu RM 1.38 setiap metre padu.

Lebih mengecewakan lagi, surat tersebut bertarikh 10 Januari manakala bil air yang terbaru 4 Januari sudah mengenakan caj baru itu kepada penduduk.

“Permintaan kami untuk berjumpa dengan pegawai Syabas bagi berbincang mengenai perkara ini langsung tidak berjaya.

“Jadi kami hanya mampu berhubung dengan pihak Syabas melalui panggilan telefon namun alasan-alasan yang diberikan mereka ternyata tidak munasabah termasuk alasan mereka hanya terima arahan pihak atasan,” luah Zulfa Asri.

Mengikut senarai kadar tarif air yang diberikan Syabas kepada Zulfa Asri, kod tarif 17 hanya dikenakan kepada rumah pangsa, apartment atau kondominium yang merupakan rumah selain daripada pangsapuri kos rendah dan rumah-rumah kos rendah.

Kod tarif 17 mengenakan caj RM 1.38 setiap metre padu.

Manakala, pangsapuri-pangsapuri kos rendah dan rumah-rumah pangsa kos rendah pula dikenakan tarif air mengikut kod tarif 18 iaitu RM 0.80 bagi setiap meter padu.

Susulan kenaikan secara mengejut itu, penduduk juga menulis surat kepada Syabas bertarikh 10 Januari bagi menyatakan bantahan terhadap tarif tersebut yang disifatkan membebankan penduduk yang rata-rata berpendapatan sederhana.

Ketika dihubungi untuk penjelasan, seorang pegawai di Bahagian Hah Ehwal Korporat Syabas berkata syarikat itu enggan mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa kini.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top