KLANG 31 JAN : Seorang pemandu lori mahu Polis Diraja Malaysia berterus terang dan menyiasat bagaimana isterinya, Pua Bee Chun, 22, mati dipercayai ditembak anggota mereka.

Bee Chun dipercayai mati ditembak ketika berada di dalam sebuah kereta di Jalan Bendahara, Taman Sentosa, Klang pada 18 Januari.

Menurut Foo Voon Kong, 27, isterinya dipercayai mati selepas ditembak dari belakang badannya. Kereta tersebut dipercayai ditembak sebanyak 24 kali.

Voon Kong mendakwa segala usaha untuk mendapat penjelasan daripada polis tentang bagaimana dan kenapa isterinya mati menemui jalan buntu.

Di dalam satu sidang media di sini hari ini, Voon Kong berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan isterinya pada 5 petang pada hari kejadian sebelum isterinya keluar rumah.

Katanya, beliau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) menyuruh Bee Chun pulang untuk makan malam dan keluar ke pasar malam bersama kedua anak mereka.

“Bagaimanapun, beliau (isteri) kata tidak dapat pulang, apabila saya menghantar sms kali kedua bertanya dia dimana, isteri saya tidak membalas sms itu.

“Kira-kira jam 8.30 malam, saya menerima panggilan telefon dari rakan saya memberitahu beliau ternampak mayat isteri saya.

“Apabila saya sampai ditempat kejadian, saya lihat ramai orang awam dan polis, mayat isteri saya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Doktor memaklumkan, isteri saya ditembak melalui belakang badannya,” katanya di dalam sidang akbar di pejabat khidmat MP Klang.

Beliau mendakwa polis tidak menjalankan tugas mereka secara profesional dengan melulu menembak isterinya.

“Semua bukti seperti baju, kamera litar tertutup (CCTV) dan kereta yang dinaiki isteri saya diambil polis.

“Saya percaya isteri saya ditembak dengan 24 das tembakan berdasarkan kesan tembakan di pintu kereta dan bahagian belakang kereta,” katanya.

Voon Kong menambah, beliau difahamkan isterinya ditembak ketika di dalam sebuah kereta jenis Waja bewarna perak bersama seorang lelaki yang merupakan kawannya.

Lelaki tersebut dipercayai ditahan polis dan satu laporan polis telah dibuat oleh Voon Kong pada 19 Januari lalu di Balai Polis Klang.

Sementara itu, MP Klang, Charles Santiago berkata kes itu merupakan yang ketiga berlaku selepas kematian pengawal keselamatan C Sugumaran dan kes Amirul Rasyid yang membabitkan polis.

“Kini, semua bukti berkaitan dengan pembunuhan hilang. Jika semua bukti ini tiada bagaimana hendak bawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Selain itu, MP Puchong, Gobind SinghDeo  mahu polis menjalankan siasatan yang adil dan Perdana Menteri perlu campur tangan dalam kes itu.

“Polis tidak boleh menghukum mangsa dengan terus menembaknya, kini polis sudah tidak memberi perlindungan kepada rakyat.”

Sumber: Selangorku

0 comments:

top