KUALA LUMPUR, 30 Jan — Malaysia jatuh ke tangga yang rendah dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2013 ke tangga 145 dari 179 negara, menurun 23 anak tangga.

Malaysia pernah berada di tangga 122 dan 141 dalam indeks pada 2011/2012 dan 2010 yang dihitung oleh kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan.

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan, kejatuhan disebabkan oleh akses kepada maklumat “menjadi semakin terhad”.

Laporan oleh kumpulan tersebut mengatakan kejatuhan rekod Malaysia disebabkan oleh usaha kerajaan berulang kali untuk menyekat maklumat.

Ia juga menyebabkan penurunan dalam kebebasan media negara dengan apa yang mereka gambarkan sebagai kempen menindas kerajaan, membangkitkan tentang tindakan pihak berkuasa dalam berhadapan dengan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) April lalu.

Tahun lalu, beberapa pengamal media menuduh polis menyerang mereka dan merampas peralatan kamera dan kad penyimpan data semasa perhimpunan 28 April.

“Disamping pertempuran habis-habisan oleh aktivis hak asasi dan media internet, kempen penindasan oleh kerajaan, yang digambarkan dengan tindakan keras terhadap protes 'Bersih 3.0'pada April, dan usaha penapisan berulang, terus melemahkan kebebasan asas, khususnya hak untuk mendapatkan maklumat,” tulis Wartawan Tanpa Sempadan dalam laporannya.

Negara jiran Thailand dan Indonesia kedua-duanya mengalahkan Malaysia masing-masing di tangga 135 dan 139.

Negara Asia Tenggara lain seperti Filipina, Singapura, Laos dan Vietnam, masing-masing berada di tangga 147, 149, 168, dan 172.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top