Pengumuman Tan Sri Rozalli Ismail, Pengerusi Eksekutif Syabas/Puncak Niaga Holdings Berhad bahawa masalah bekalan air akan berlanjutan sehingga ke Tahun Baru Cina adalah bukti kegagalan projek-projek penswastaan Umno/Barisan Nasional kepada kroni yang akhirnya menyusahkan rakyat.
Penjelasan yang diberikan bahawa oleh beliau yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan kelangsungan bekalan air di Lembah Klang adalah tidak masuk akal, seperti berikut:

1.      Kerosakan pam air di rumah pam Wangsa Maju – Kegagalan Syabas memastikan dua pam simpanan (spare pumps) berfungsi dan berada dalam keadaan yang baik sudah tentu melanggar segala prosedur dan amalan terbaik industri (industry’s best practices). Maklumat yang diterima bahawa keempat-empat pam di Wangsa Maju telah pun rosak buat beberapa ketika dan tiada tindakan berkesan yang diambil oleh Syabas membuktikan kecuaian dan kegagalan Syabas;

2.      Tidak cukup bekalan air terawat (treat water) – Alasan Syabas yang cuba mempolitikkan perkara ini dengan menuding jari kepada Kerajaan Selangor tidak boleh diterima akal apabila Syabas berjaya pula mendapatkan bekalan air terawat yang dihantar melalui lori-lori.

Oleh sebab itu, saya yakin bahawa ini permainan politik Umno yang direstui Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana mereka beranggapan satu-satunya jalan untuk mendapat undi dan memenangi Selangor adalah dengan menyusahkan hidup rakyat. Hayat politik Dato’ Seri Najib sendiri bergantung kepada kemenangan Selangor. Tanpa Selangor, hampir sudah pasti pimpinan Umno akan menggulingkan beliau sebelum atau selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Sebab itu, dalam keterdesakan begitu, Umno yang direstui Dato’ Seri Najib mengambil keputusan mensabotaj bekalan air di Selangor untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Justeru, sebagai pimpinan yang dipertanggungjawabkan bersama-sama dengan penduduk di Pandan, saya beranggapan sabotaj politik Umno ini diselesaikan secara politik jua. Saya telah diarahkan untuk memberi sepenuh perhatian dalam tempoh terdekat ini untuk berhadapan dengan sabotaj politik yang melibatkan Umno dan Syabas ini supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan segera.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang akan diambil segera untuk berhadapan dengan sabotaj politik Umno dan Syabas:

1.      KEADILAN dan PAS telah menubuhkan Skuad Air di setiap kawasan yang terkesan dengan masalah ini. Tumpuan skuad ini adalah untuk meringankan beban penduduk yang terpaksa mengangkut air dengan menyediakan kemudahan pam agar air boleh dihantar terus ke tingkat masing-masing. Operasi ini telah berjalan di bawah pimpinan YB Iskandar Abdul Samad dan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan digerakkan untuk membantu penduduk

2.      KEADILAN akan mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli pam-pam air untuk dibekalkan ke kawasan-kawasan yang diperlukan

3.      Rundingan dengan pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan untuk mendapat komitmen supaya bekalan air melalui lori-lori yang dihantar adalah mencukupi dan mengikut jadual tetap

4.      Satu kumpulan pakar yang pernah terlibat merancang dan membangunkan sistem air di Lembah Klang akan ditubuhkan secara sukarela untuk mengkaji aspek teknikal dan menjawab tuduhan-tuduhan Syabas

5.      Kempen penerangan di seluruh kawasan terbabit akan dijalankan serentak untuk memaklumkan kepada penduduk bahawa dalang sebenar masalah ini adalah Umno dan Syabas

Lebih penting, masalah ini perlu ada penyelesaian politik supaya ia tidak berulang lagi.

Oleh yang demikian, KEADILAN telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan peguam untuk menyaman Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad dalam masa terdekat atas kegagalan menguruskan khidmat air akibat kecuaian, seperti yang diperuntukkan oleh perjanjian konsesi. Mulai hari ini, KEADILAN akan mengumpul seberapa ramai penduduk, peniaga dan pihak yang ingin menuntut pampasan dari Syabas dan Puncak Niaga Holdings Berhad untuk turut bersama dengan tindakan menyaman Syabas ini.

Sementara menunggu tindakan mahkamah ini berjalan, KEADILAN juga akan menggerakkan Kempen Potong Gaji Rozalli Ismail di atas kegagalan beliau menguruskan Syabas sehingga menyusahkan rakyat. Mengikut Laporan Tahunan Puncak Niaga Holdings Berhad bagi tahun berakhir 31 Disember 2011, pengarah-pengarah eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad menerima pakej gaji sebanyak RM17.25 juta setahun:

KEADILAN menuntut supaya RM10 juta dari gaji ini dipotong serta-merta dan disumbangkan ke satu tabung untuk memberi pampasan segera kepada penduduk yang terlibat.

Satu demonstrasi menuntut potongan gaji ini akan diadakan di hadapan ibu pejabat Syabas di Shah Alam pada hari Rabu, 16 Januari ini jam 2 petang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 JANUARI 2013

0 comments:

top