KUALA LUMPUR 7 JAN : Gangguan bekalan air selama 10 hari di Gombak, Ampang dan Cheras berpunca daripada sikap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang gagal menyelenggara rumah pam dibawah tanggungannya.

Gangguan itu boleh dielak sekiranya Syabas menyelenggara pam di rumah pam Wangsa Maju sejak dari awal tahun lepas dan bukan apabila berlaku gangguan bekalan air, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita tidak boleh terima alasan Syabas kerana syarikat konsesi itu sepatutnya memastikan kelima-lima pam berada dalam keadaan baik.

“Penyelenggaraan secara berkala juga perlu kerana ia menjadi prosedur wajib yang ditetapkan dalam Standard Operating Procedure (SOP).

“Kerajaan Selangor kesal apbila Syabas mengaitkan gangguan bekalan air ini dengan pembinaan Loji Langat 2 sedangkan ia tiada kaitan langsung,” kata Abdul Khalid dalam lawatan kerja di Rumah Pangsa Sri Melaka, Cheras di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Kira-kira 500,000 penduduk di tiga-tiga kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air selama lebih 10 hari apabila rumah pam Wangsa Maju gagal berfungsi.

Abdul Khalid berkata, Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor yang mengadakan lawatan ke rumah pam itu pada 2 Januari lalu mendapati empat dari lima pam telah rosak manakala satu pam sedang diservis dan tidak beroperasi.

Beliau berkata dakwaan Syabas bahawa semua pam beroprasi melebihi had sehingga mengalami kerosakan tidak boleh diterima.

“Sepanjang tahun lalu hanya 18 hari sahaja pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari dengan kadar aliran purata pam-pam tersebut adalah 182.204 liter sehari,” katanya.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memandang serius masalah ini dan mempercepatkan proses penstrukturan semula supaya Kerajaan Selangor dapat mengambilalih perkhidmatan pembekalan air.

Penduduk, K Manoharan, 57, menjelaskan masalah itu dihadapi sejak lebih 10 hari lalu.

“Memang masalah ini mengganggu kami dan berharap ia diselesai segera.

“Rabu lalu pihak Syabas datang berjanji untuk selesaikan tapi hanya dua tiga hari saja ada air selepas itu masalah lagi,” ujarnya ketika ditemui.

Mazlan Kidam pula berharap Kerajaan Negeri segera mengatasi masalah itu kerana ia membebankan.

“Bila masalah ini ada kami terpaksa bersusah untuk angkut air yang disediakan pam sementara,” katanya sambil menyatakan masalah sama dialami 13 tahun lalu.


Sumber: Selangorku

1 comments:

Anonymous said...

I getting confused. First, it was the shortage of raw water, and then it was the shortage of treated water when it was proven that the dams were overflowing. Now, what are we hearing? Shortage of pumps? Why not just slash 90% of the pay of the top management and especially the directors and buy a few new pumps with the amount saved by this action.

top