Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat yang meraikannya khususnya di negeri Selangor.
Seperti yang kita sedia maklum, Tahun Baru Cina diraikan setiap tahun dengan penuh kemeriahan. Berasal dari sambutan musim bunga bagi meraikan kejayaan hasil tanaman, golongan muda di perantauan akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing bagi meraikannya.
Menerusi peredaran zaman, tradisi murni ini tetap diteruskan, dan pada hari ini Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan bersama ibubapa dan golongan tua, tetapi diraikan bersama-sama dengan jiran tetangga dan rakan-rakan.
Sinonim dengan sambutan yang meriah ini, perhiasan serta pakaian baru dipersiapkan, juadah tradisi disediakan, limau mandarin dan ang pow menjadi suatu kemestian.
Bersempena dengan musim perayaan ini, ingin saya mengambil kesempatan berpesan supaya kita berbelanja dengan bijak dan cermat serta teruskan amalan kunjung-mengunjungi bagi mengeratkan hubungan sesama kita.
Pada tahun ini, kita raikan tahun arnab yang disimbolkan dan dikaitkan dengan ketenangan dan ketahanan. Kepada mereka yang membuat perjalanan pulang ke kampung, terapkanlah nilai-nilai ini, amalkan sikap bersabar dan berhati-hati di jalan raya.
Akhir kata, saya dan keluarga, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, mulakanlah tahun baru ini dengan satu lembaran yang baru dan semoga tahun ini dilimpahkan dengan penuh kejayaan dan kebahagiaan. Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai!
YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR