Kerajaan Negeri begitu kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  pentadbiran UMNO / BN yang lepas yang tidak mengambil tindakan sewajarnya melindungi harta awam yang disediakan oleh Kerajaan untuk kegunaan orang ramai di dalam Dewan Orang Ramai dan Balairaya di seluruh Negeri Selangor.

Selepas Piliharaya Umum  Mac 2008, beberapa orang individu / ahli  UMNO / BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan ‘pengetahuan’ JKKK ketika itu tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran Kerajaan Negeri. 

Antara peralatan yang dilaporkan hilang oleh kebanyakan Pejabat Daerah & Tanah di daerah masing-masing yang bertanggungjawab ke atas dewan-dewan tersebut antaranya ialah hampir kesemua kerusi plastik dewan (kira-kira 50 ke 100 unit), kerusi Banquet, Alat Penghawa Dingin, Kipas Angin Siling, Kipas Angin Dinding, Komputer, Meja Mesyuarat, Meja Lipat Plastik, P.A System, Loud Speaker Dinding, Papan Putih beroda dan lain-lain peralatan.


Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah mendapatkan input dari 7 buah Pejabat-Pejabat Daerah & Tanah seluruh Negeri Selangor (tidak termasuk Petaling, Sepang dan Sabak Bernam) dan melaporkan kepada Mesyuarat EXCO bahawa jumlah anggaran keseluruhan kehilangan  tersebut ialah sebanyak RM384,776.

Kehilangan ini merupakan ‘tindakan jenayah’ terhadap harta awam dan kerajaan Negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat dan berharap pihak Polis mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.


Dr Xavier Jayakumar,
EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin Negeri Selangor

0 comments:

top