SHAH ALAM 11 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Indonesia bagi meningkatkan lagi kerja sama dan persefahaman antara Kerajaan Selangor dan Republik Indonesia khususnya melibatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Pada pertemuan dengan Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD), Irman Gusman di Jakarta hari ini, Menteri Besar menyarankan perlu adanya hubungan baik antara kedua belah pihak yang akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Indonesia dan Malaysia khususnya Selangor.

Dalam pertemuan itu juga, Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Irman Gusman yang menyambung ulang tahun kelahiran ke-49 hari ini. Menteri besar dan Irman Gusman adalah kenalan lama sebelum masing-masing menceburi politik.

Kedua-duanya juga sepakat untuk bekerjasama meningkatkan sektor pelancongan dan pendidikan.  Majlis itu juga dihadiri anggota DPD lain termasuk AM Fatwa, Ibu Asmawati dan Jaafar Usman.


Ketika menghadiri Majlis Jalinan Perniagaan antara Delegasi Perniagaan dari Selangor dengan Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta di Hotel Sultan, Jakarta pada sebelah petang hari ini, Menteri Besar mempelawa pelabur Indonesia untuk terus menambah pelaburan di Selangor.

Tahun lalu, pelaburan Indonesia di Selangor berjumlah kira-kira RM200 juta dalam sektor pengeluaran makanan dan minuman, pengeluaran kosmetik dan penjagaan kecantikan diri.

Selain Menteri Besar, Kerajaan Selangor turut diwakili Exco termasuk iaitu YB Teresa Kok, YB Dr Halimah Ali dan YB Dr Xavier Jayakumar beberapa wakil anak syarikat kerajaan negeri.

Tan Sri Abdul Khalid ketika berucap kepada ahli-ahli Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta serta delegasi perniagaan Malaysia berkata, Selangor sebagai negeri termaju berperanan penting mengekal dan melonjakkan prestasi ekonomi Malaysia.

Ini kerana, katanya, Selangor menyumbang 35 peratus perdapatan ekonomi Malaysia dan lebih 60 peratus pembayar cukai adalah rakyat Selangor atau mereka yang bekerja di Selangor.

Menteri Besar mempelawa ahli perniagaan Indonesia dan Jakarta khususnya supaya merebut peluang pelaburan di Selangor kerana mempunyai kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa.

“Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) menyediakan khidmat nasihat dan bantuan bermula sejak proses pemohonan sehingga kilang siap beroperasi. Malah, semua pihak berkuasa tempatan mempunyai pegawai pelaburan dan Pusat Sehenti Setempat (OSC) untuk menguruskan urusan pelaburan,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, Selangor memperoleh pelaburan kedua tertinggi sepanjang tahun lalu dengan pelaburan RM10.6 billion melibatkan 207 projek pelaburan baru dan 118 projek penambahan pelaburan sedia ada.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perdagangan Jakarta, Edi Kutandi berkata, pihaknya amat menghargai usaha-usaha yang diambil Kerajaan Selangor untuk meningkatkan hubungan perdagangan kedua-dua pihak.

Beliau yang gembira dengan perjumpaan itu berjanji untuk membawa delegasi perniagaan ke Selangor dalam waktu terdekat untuk meninjau lebih dekat peluang-peluang perniagaan.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top