SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.
Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".
Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.
Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.
Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.
Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.
Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi yang juga Exco Majlis Peguam, Edmund Bon.
Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.
Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.
Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.
Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.
Hapus Akta Hasutan
Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.
Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.
Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.
Kaedah Umno di Perak Tak Berjaya di Selangor
“Apakah tindakan ini merupakan fasa kedua dalam usaha BN merampas balik Negeri Selangor?” tanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
“Kita tahu bahawa semenjak Najib menjadi Pengerusi Umno Selangor, maka tindakan-tindakan biadap membelakangkan kerajaan negeri dan Sultan sendiri semakin menjadi-jadi,” tulis Khalid di dalam blognya.
Katanya, perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri diusahakan dengan begitu bersungguh-sungguh dan semestinya ada perancangan durjana di sebaliknya.
Menurutnya, bukan sekadar untuk menempelak kerajaan negeri dan Sultan, tetapi semestinya ada perancangan yang lebih dari itu.
Tambahnya, tindakan terbaru ekoran krisis perlembagaan melihat bagaimana Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie pula diarah melapor diri ke balai polis pada hari Khamis untuk terus didakwa pada hari ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, ianya satu tindakan yang begitu laju dan cepat tidak seperti kebiasaan di Malaysia.
Katanya, pertuduhan yang bakal dikenakan ke atas Shuhaimi adalah tuduhan menghasut yang sekiranya didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara dan/atau denda yang memungkinkan kerusinya terpaksa dikosongkan.
Ianya, kata beliau bermula dari tulisan Shuhaimi di blognya yang mana, sekiranya dibaca, jauh lebih ‘kecil’ isunya dibandingkan dengan apa yang pernah dinyatakan dan dilakukan oleh Umno terhadap institusi Sultan Melayu di beberapa negeri sebelum ini.
“Tidak perlu saya ulangi tindakan pemimpin Umno yang telah menjadi pengetahuan umum semenjak sidang Dun Selangor yang lalu.
“Namun apa yang ingin saya timbulkan ialah persoalan perancangan jahat pihak Umno BN yang sentiasa berusaha untuk menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan selain dari mereka,” ujarnya.
Mereka, ujarnya menggunakan segala agensi kerajaan untuk menggagalkan kerajaan PR pilihan rakyat seperti pernah mereka lakukan di Perak.
Dewasa ini, katanya seolah-olah perkara yang sama sedang mereka lakukan di Selangor dan melalui kaedah yang seakan-akan serupa.
“Persoalannya, adakah perancangan jahat yang sama sedang diaturkan oleh Umno BN untuk Negeri Selangor?” soalnya.
Setelah menghalang pengembalian kuasa dan peranan Sultan dan Menteri Besar dan seterusnya melantik SUK pilihan mereka, maka soalnya lagi adakah ini merupakan fasa kedua perancangan jahat BN untuk menjatuhkan kerajaan PR di Selangor.
“Kita yakin, insya Allah bahawa kaedah yang digunakan mereka di Perak tidak akan berjaya di Selangor,” tegasnya.
Malahan, katanya tindakan itu akan menyebabkan rakyat Selangor semakin menolak Umno dan BN kerana mereka menyedari kejahatan tindakan Umno dan BN dalam peristiwa seperti ini.
“Kita juga yakin bahawa YB-YB kita di Selangor tidak akan dapat dibeli atau ditipu semudah itu, lebih-lebih lagi apabila mereka semua menyedari betapa rakyat telah berkorban untuk mempertahankan kemenangan PR di Selangor,” ujarnya lagi.
Sumber: Harakah Daily
0 comments:
Post a Comment