Pemindahan SJK (T) Seaport Selesai

PETALING JAYA 7 FEB: Isu pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seaport yang sebelum ini mendapat bantahan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan penduduk berikutan isu keluasan tapak telahpun selesai. 

ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili penduduk berharap agar Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dapat memulakan segera pembinaan sekolah tersebut.

"Sebelum ini, pemindahan tersebut tertangguh pada 2008 apabila PIBG dan penduduk membantah tapak 1 ekar yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional dahulu," jelas Nik Nazmi dalam sidang media di Dewan MBPJ, Kg. Lindungan pagi tadi.

Katanya, selepas rundingan antara PIBG, penduduk dan Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada November 2010 telah memutuskan agar tapak SJKT Seaport di Kg. Lindungan ditetapkan pada 1.5 ekar.


Berikutan keputusan tersebut, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad telah memanggil semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu ini pada Januari 2011. Nik Nazmi bersama Dr Xavier Jayakumar turut hadir ketika itu.

“Dalam mesyuarat tersebut, kami dimaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telahpun menyerahkan cek sebanyak RM1.2 juta pada 2008 sebagai sumbangan kepada pembinaan sekolah tersebut.

“Pihak JKR turut memaklumkan bahawa pelan pembinaan sekolah tersebut dengan 18 buah kelas berbanding rancangan 10 buah kelas dahulu,” jelasnya lagi. 

Kerajaan negeri amat berharap agar pembinaan SJKT Seaport ini dapat dimulakan segera bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa untuk pelajar-pelajar SJKT Seaport serta membolehkan penduduk sekitar Kg. Lindungan, Desa Mentari, Desaria dan Datuk Hormat mendapat kemudahan pendidikan yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top