KUALA LUMPUR, 6 Feb — Pakatan Rakyat (PR) akan meminda perlembagaan Selangor untuk mengembalikan kuasa dalam urusan pelantikan perkhidmatan awam negeri itu jika ia memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum kelak, kata seorang pegawai kanannya.
Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata janji untuk memulihkan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan negeri kini dijadikan sebahagian daripada kempen PR Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13.
“Bagi saya, Umno sudah hilang momentum mereka,” kata Faekah kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif.
Tegas beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi satu peluang untuk membuktikan mereka benar-benar sokong institusi diraja.






