Dengan izin Allah SWT, dan di atas perkenan Tuanku, dapat patik dan seluruh wakil rakyat di seluruh negeri Selangor, negeri naungan Tuanku, hadir ke Dewan yang mulia ini bagi patik sekalian melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat Selangor Darul Ehsan.
Patik mengaku, akur dan insaf terhadap ingatan Tuanku bahawa Tuanku memberi perkenan akan Mesyuarat Dewan di bawah Peraturan 10(3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor ini dan patik percaya dan yakin semua wakil rakyat cukup rasional dan bertanggungjawab kepada rakyat di kawasan mereka. Tuanku tidak sama sekali diheret ke dalam kepentingan mana-mana kolompok kepartian di sepanjang perbahasan di dalam dewan ini.
Patik ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh wakil rakyat yang hadir kerana ia jelas menunjukkan permasalahan yang kita bincangkan ini adalah permasalahan dan masa hadapan negeri. Wakil-wakil rakyat juga tidak mahu bermuka dua dan membelakangi rakyat yang memilih mereka.
Patik bangga isu yang besar ini dapat mencantumkan pemikiran kami semua terhadap isu utama negeri, perihal yang mendesak dan mempunyai kepentingan awam ini, meskipun kami berbeza daripada segi perjuangan dan ideologi politik. Patik sekalian berusaha memartabatkan dewan yang mulia ini dengan tatatertib yang baik serta kata-kata yang melambangkan rakyat negeri ini adalah rakyat bertamadun. Ampun Tuanku.








