SHAH ALAM 11 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan bersidang pada 24 Januari ini untuk meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Dalam kenyataan pejabat speaker DUN Selangor hari ini, Datuk Teng Chang Khim telah mengarahkan setiausaha DUN supaya memaklumkan perkara itu kepada semua ADUN Selangor.

Sidang tersebut diadakan mengikut Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

Menurut kenyataan itu, speaker memanggil mesyuarat tersebut selepas berpuashati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bahawa kepentingan awam berkehendakkan mesyuarat tersebut diadakan lebih awal dari tarikh DUN ditangguhkan.

"Urusan perkara mesyuarat dan kertas-kertas mesyuarat berkenaan akan diedarkan kepada Ahli Dewan kemudian selepas ianya ditetapkan oleh menteri besar," tambah kenyataan itu.

Semalam, Khalid dilaporkan berkata, kerajaan negeri sudah melantik pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Datuk Abdul Aziz Bari, dan peguam Datuk Param Cumaraswamy, bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Ia membabitkan cadangan untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top