Siasat ADUN Sri Muda: Polis Gagal Ikut Prosedur

SHAH ALAM 11 JAN: Tindakan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie tidak hadir bagi siasatan di IPD Shah Alam hari ini kerana polis gagal melaksanakan prosedur dan notis dibawah seksyen 111 kanun tatacara jenayah.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sewaktu hadir menyatakan sokongan kepada Shuhaimi dan memberi penjelasan kepada media mengapa Shuhaimi tidak hadir hari ini.

"Saya harap polis tidak melibatkan diri dalam isu-isu politik. Polis harus bertindak profesional, menjaga keselamatan masyarakat, itu adalah 'priority' polis dan saya masih ingat IGP baru yang dilantik mengatakan 'priority' adalah keselamatan orang awam. Perkara yang melibatkan YB Shuhaimi tidak ada apa-apa kaitan dengan keselamatan awam," kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, beliau dan rakan-rakan sepejuangan hanya akan bersetuju untuk menasihati Shuhaimi agar menghadirkan diri ke balai polis sekiranya polis mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah dan keputusan ini diambil setelah berbincang dengan para peguam PKR.

Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah memberikan kuasa kepada mana-mana anggota polis yang menyiasat sesuatu kes untuk mengarahkan mana-mana individu untuk hadir memberikan keterangan di hadapan anggota tersebut dan arahan perlu diberikan secara bertulis kepada individu berkenaan.

"Pada setakat ini tidak ada motis yang rasmi yang dikeluarkan untuk mewajibkan YB Shuhaimi untuk hadir ke balai polis hari ini, ini perkara  pertama. Walau bagaimanapun bagi pihak PR, sesiapapun yang diperlukan untuk siasatan, kami sedia bekerjasama, tidak ada unsur kami menolak atau melarikan diri," jelas beliau lagi.

Semalam polis mencari Shuhaimi di kediamannya dan meminta Shuhaimi menghadirkan diri ke IPD Shah Alam pada  pukul 2 petang hari ini.

Selain itu, beliau mencabar Umno-BN memberikan penjelasan berkenaan kain rentang yang mempersoalkan hak Sultan yang dilihat sebagai fitnah Shuhaimi.

"Saya, teman-teman saya mengesyaki, yang ada kepentingan dalam perkara ini adalah pihak Umno dan dan dengan cara yanng dibuat ini, saya mencabar supaya Umno Selangor untuk membersihkan imej mereka dan mengutuk tindakan ini bersama kita," tegas beliau.

Ini berikutan insiden di mana sejak pagi semalam, beberapa kain rentang yang mengandungi perkataan 'No to Royal' (Tidak kepada Raja) serta gambar Shuhaimi telah dinaikkan di sekitar Shah Alam oleh pihak tertentu dipercayai bertujuan memfitnah Shuhaimi.

Katanya lagi, polis sepatutnya menjalankan tugas menjaga ketenteraman awam, bukannya menjadi alat politik pihak-pihak tertentu dan beliau juga menuntut agar Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar berpegang kepada janjinya semasa perlantikannya.

Petang tadi, Tian Chua beserta ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar, ADUN Taman Medan, Haniza Talha, ADUN Rawang, Gan Pei Nei, Pengerusi Biro Kepengunaan serta sebagai wakil Ketua-ketua Cabang PKR Selangor, Yahya Sahri dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kota Raja, Azmizam Zaman Huri dan 200 ahli PKR hadir menyatakan sokongan kepada Shuhaimi.


Sumber: TVSNEWS

0 comments:

top