Kerajaan Negeri Hargai Sumbangan Besar Atlet

SHAH ALAM 22 JAN : Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor atau MSNS menghargai jasa atlet-atletnya yang berjaya menempa kejayaan di pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2009.

Atlet-atlet Sukan Selangor diraikan dengan kehadiran DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Dr Xavier Jayakumar, Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata majlis ini adalah medium menzahirkan semangat dan kerjasama bersama dalam perjuangan memartabatkan sukan negeri sebagai elemen penting dalam pembangunan Selangor.

Khalid berkata kerajaan negeri dalam usaha membudayakan sukan di kalangan rakyat bagi mewujudkan masyarakat Selangor yang sihat dan berdaya maju.

"Sukan merupakan satu elemen penting dalam pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat, bersatu dan rakyat yang sanggup berjuang demi memelihara maruah negara," katanya.

Dalam ucapannya, Khalid turut berharap para atlet sentiasa berjiwa besar dan bertekad menempa kerjayaan sebagai juara dalam pengajuran sukan di peringkat negeri dan antarabangsa.

Tambah Khalid, kerjasama semua pihak yang terlibat harus digandakan untuk sama-sama menempa kemenangan dan kejayaan di temasya sukan dan ianya bukan hanya digalas oleh atlet semta-mata.  

"Saya memohon kerjasama persatuan sukan negeri dan ahli-ahli gabungan mereka agar bersama-sama memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha memajukan acara sukan masing-masing,"katanya.

"Kita tidak seharusnya bergantung pada kekuatan fizikal dan mental atlet semata-mata tetapi juga perlu menggunakan pendekatan saintifik serta perancangan jangka panjang dan pengurusan yang sistematik," katanya lagi.

Majlis yang bertempat di Grand Ballroom Hotel Concorde Shah Alam menyaksikan seramai 200 termasuk atlet.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim, Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Majlis Penyampaian Angerah Sukan Negeri Selangor disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi kategori Pegawai Berjasa, Anugerah Khas, Perhargaan Khas, Pasukan Terbaik 2009.

Anugerah bagi kategori Pegawai Berjasa diberikan kepada Kasmah Aris, Mahat Abdullah dan Lee Choo Lin.
Mereka bertiga menerima wang RM2,000, trofi dan sijil.

Manakala Anugerah Pasukan Terbaik diberikan kepada Pasukan Bola Sepak Negeri Selangor dengan menerima RM3,000, trofi, dan sijil.

Kemudian DYMM Tuanku menyempurnakan penyampaian anugerah kepada olahragawan harapan 2009, olahragawati harapan 2009, olahragawan 2009 dan olahragawati 2009.

0 comments:

top