Klang, 30 Januari 2011 – Sambutan Ponggal Negeri Selangor yang berlangsung pada hari ini di Little India, Jalan Tengku Kelana berjaya menyaksikan satu rekod dicatat ke dalam The Malaysia Book of Records.

Walaupun hujan turun dan beberapa halangan kecil berlaku, hasil daripada usaha dan kerjasama peserta-peserta dari seluruh negeri Selangor berjaya menghasilkan 1210 periuk juadah ponggal! 

Ini juga adalah hasil daripada koordinasi beberapa NGO serta jawatankuasa kuil yang bekerja keras mewujudkan tenaga kerja, menguruskan logistik serta menyediakan bahan dan perkakasan yang diperlukan.

Sambutan Ponggal ini dihadiri oleh YB Dr Xavier Jayakumar dan pemimpin-pemimpin kaum India yang turut meraikannya, antaranya YB Charles Santiago. Lebih 4,000 orang hadir pada sambutan tersebut.


Dr Xavier Jayakumar mengucapkan tahniah kepada kesemua yang terlibat menjayakan program yang juga berjaya mencatat satu pencapaian dalam The Malaysia Book of Records bagi kaum India.

Dalam majlis tersebut juga, akhbar tamil iaitu Selangor Indru dilancarkan oleh Dr Xavier Jayakumar dan diedarkan kepada orang ramai. Pelancaran akhbar berbahasa tamil ini adalah bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat terkini dan sebenar berkaitan program-program kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sumbangan cek juga diberikan kepada beberapa organisasi, antaranya RM4,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah dan Majlis Kanser Nasional sebanyak RM10,000.

Ponggal secara amnya diraikan setiap tahun pada bulan Januari oleh kaum India bagi mensyukuri rezeki yang telah diberikan tuhan dengan menyediakan juadah yang disediakan pada waktu pagi hari sambutan tersebut.









0 comments:

top