Kenyataan Media
YB Dr. Xavier Jayakumar
11 Januari 2014

Rakyat Selangor Terkejut Dengan Keputusan Kerajaan Negeri Serah Pengambilalihan Industri Air Kepada Kerajaan Pusat


Setelah lebih lima tahun rakyat negeri Selangor membantah pengurusan lemah dan tidak bertanggungjawab pembekalan air terawat di Selangor oleh pemegang konsesi dan rancangan pelaksanaan loji Langat 2, Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan berita yang mengejutkan Rabu lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor, Kerajaan Negeri menyerahkan pengambilalihan industri air Selangor kepada Kerajaan Pusat berikutan penguatkuasaan Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA 2006) ekoran kegagalan Kerajaan Negeri memuktamadkan rundingan dengan 4 syarikat konsesi air yang berakhir pada 31 Disember 2013 lalu.

Kerajaan Negeri seharusnya tidak begitu mudah patuh “memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Pusat” dengan memberi kelulusan pelaksanaan loji Langat 2 dengan alasan penguatkuasaan Seksyen 114.

Ringkasnya Seksyen 114 memberi kuasa kepada Menteri Tenaga, Air dan Teknoloji Hijau (Kerajaan Pusat) untuk mengambil alih hak kawalan, pengurusan, harta dan aset serta lesen perniagaan PEMEGANG LESEN PERNIAGAAN AIR demi kepentingan negara. Dalam kes Negeri Selangor, PEMEGANG LESEN PERNIAGAAN AIR tersebut adalah 4 syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga, Syabas, Splash dan Konsortium Abbas.

Selepas diambil alih, Kerajaan Pusat akan menyerah hak urus selia kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN). Disebutkan juga oleh seksyen tersebut bahawa pemegang lesen tadi akan dibayar pampasan ekoran pengambilalihan tersebut dan jumlahnya (quantum) ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

Persoalannya, mengapakah Kerajaan Negeri Selangor harus patuh kepada Seksyen 114? Apakah kaitan Seksyen 114 tadi dengan Kerajaan Negeri dan adakah Kerajaan Negeri terikat dengan Seksyen 114 ini?

Secara jelas Kerajaan Negeri TIDAK TERIKAT untuk patuh kepada seksyen ini kerana Kerajaan Negeri BUKAN PEMEGANG LESEN PERNIAGAAN AIR. Di Selangor dan W.P. Kuala Lumpur dan Putrajaya, Syabas adalah pemegang lesen dan pembekal air hinggakan bil air itu sendiri dibayar kepada Syabas dan bukan kepada Kerajaan Negeri.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Kerajaan Negeri adalah pemilik kepada 33 dari 38 buah loji rawatan dan 8 buah empangan besar seluruh negeri Selangor. Jelas disini KERAJAAN NEGERI ADALAH PEMILIK ASET AIR dan BUKAN PEMEGANG LESEN PERNIAGAAN AIR lantaran itu, tidak sama sekali terikat langsung dengan seksyen ini.

Oleh itu, adalah mengelirukan bagaimana Kerajaan Negeri tidak memahami seksyen tersebut sebaliknya mengambil keputusan untuk "memberikan kerjasama penuh kepada Kerajaan Pusat" untuk meberikan kelulusan pembinaan Loji Langat 2.


Pendirian rakyat dan kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor ialah projek Langat 2 adalah projek 'pelengkap' kepada satu rangkaian projek 'mega' oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat yang sebenarnya tidak perlu.

Dianggarkan kos keseluruhan projek ini mencecah RM16 Bilion dan menganggap projek ini merupakan satu pembaziran wang rakyat untuk ‘mengkayakan’ kroni-kroni dan pemimpin-pemimpin berkepentingan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa bagi menyudahkan projek Langat 2 ini, Kerajaan Pusat harus melaksanakan 3 lagi projek besar di Negeri Pahang iaitu :

a) Empangan Kelau di sempadan Raub / Bentong

b) Pembinaan Rumah Pam dan Muka Sauk di Sungai Semantan

c) membina terowong sepanjang 44km di bawah banjaran Titiwangsa dari Karak, Pahang  ke Hulu Langat, Selangor untuk menyalur air mentah dari Sungai Semangan tadi.

Dan akhirnya, pembinaan Loji Langat 2 itu sendiri.

Persoalannya; apa keperluan meng'impot' air mentah dari Sungai Semangan itu sedangkan sumber air adalah mencukupi dan boleh dipertingkatkan penggunaannya dengan kaedah menaiktaraf dan membesarkan infrastruktur loji-loji air yang sedia ada.

Isun yang sering diperkatakan sebelum ini adalah; kita bukan tidak mempunyai simpanan air bersih yang mencukupi tetapi sebaliknya disebabkan kegagalan syarikat pembekal air iaitu Syabas untuk menurunkan 30% (NRW) Air Yang Tidak Berhasil.

Tidak ada maknanya jika kita berjaya memperolehi 2,260 Juta Liter Sehari (JLH) kononnya dari Loji Langat 2 setelah siap dibina kelak, tetapi kehilangan 30% (NRW) disebabkan kebocoran paip dan sebagainya seperti yang dialami sekarang.

Rakyat juga harus diberitahu bahawa apabila Langat 2 ini siap, Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM80 juta setahun kepada Kerajaan Pahang sebagai royalti pengambilan 'air mentah' dari Sungai Semantan tadi dan lebih menekan lagi ianya dinaikkan setiap 5 tahun sekali.

Pendirian yang hendak ditekankan adalah mudah; bahawa hak dan kuasa terhadap tanah adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini tiada kaitan langsung dengan Seksyen 114 tersebut.

Maka, tiada fakta kukuh meluluskan projek Langat 2 dengan mengaitkannya dengan Seksyen 114. Ini adalah dua perkara berbeza yang tiada kaitan antara satu sama lain.

Keputusan meletakkan 'dua wakil Kerajaan Negeri' kononnya sebagai 'pentadbir' di dalam SPAN juga bukanlah pendekatan terbaik untuk menjaga kepentingan 6 juta rakyat Selangor.

Sebaliknya akan menjadi bahan ketawa (laughing stalk) kepada orang ramai. Seksyen tersebut memperjelaskan bahawa mereka yang dilantik oleh Kerajaan Pusat untuk menganggotai SPAN adalah atas budi bicara Kerajaan Pusat dan 'bukannya' hak Kerajaan Negeri untuk menentukannya. Tambahan pula, apa gunanya meletakkan 2 orang wakil Kerajaan Negeri yang kemudiannya akan 'dikeronyok' dan dipinggirkan oleh majoriti anggota yang memihak kepada Kerajaan Pusat di dalam SPAN itu.

Perkara penting yang ingin diketahui rakyat adalah samada Kerajaan Negeri ada meletakkan syarat agar tarif air tidak dinaikkan dalam satu tempoh yang panjang ekoran pengambilalihan industri air di Selangor oleh SPAN nanti.

Secara peribadi, saya berani mengatakan bahawa rakyat Selangor, W.P. Kuala Lumpur dan Putrajaya akan terpaksa membayar harga air yang naik secara mendadak dalam masa terdekat. Ini disebabkan Kerajaan Pusat harus mengutip balik hasil pelaburan mereka dari kos keseluruhan projek yang bernilai RM16 bilion tersebut.

YB Dr. Xavier Jayakumar
Ahli Dewan Negeri Selangor
Seri Andalas

11 Januari 2014

0 comments:

top