Peguam PKR, Latheefa Koya mendesak Putrajaya agar menarik balik laporan yang dihantar kepada kerajaan Jepun sehingga menyebabkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalang masuk ke negara tersebut.

Anwar semalam dihalang pihak berkuasa imigresen Jepun daripada memasuki negara tersebut atas alasan laporan terbaru yang melibatkan dirinya.

"Ia sangat pelik apabila Anwar dihalang masuk atas alasan hukuman bermotifkan politik pada tahun 1999 sedangkan beliau memasuki Jepun beberapa kali sebelum ini.

"Ini adalah satu siri serangan dan gangguan oleh kerajaan terhadap Ketua Pembangkang yang kini masih berdepan kemungkinan satu lagi pertuduhan yang sengaja direka," kata Latheefa, yang juga Pengarah Biro Hak Asasi dan Undang-Undang PKR.

Beliau kemudian mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membetulkan keadaan ini dengan segera dan menarik balik laporan yang kononnya dihantar mereka kepada kerajaan Jepun.

"Kami menyeru supaya perdana menteri memperbetulkan keadaan ini segera dengan menarik balik laporan yang tidak berasas kepada kerajaan Jepun dan memberi pelepasan perjalanan penuh kepada Anwar," katanya.

Anwar yang dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 6.45 pagi bukan sahaja gagal melepasi pemeriksaan imigresen malah diarahkan pulang menaiki penerbangan pertama dari Tokyo.

Anwar yang hadir ke Jepun atas jemputan Pengerusi Yayasan Nippon, Tan Sri Yohei Sasakawa terus mendesak penjelasan pihak berkuasa Jepun, lalu alasan diberi adalah ia mungkin disebabkan laporan terbaru membabitkan dirinya pada tahun 2013.

Bekas timbalan perdana menteri tersebut berdepan ulangan pendakwaan pada 1999 apabila Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan “Liwat II” tersebut.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Bagaimanapun, pihak pendakwa mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan Anwar itu dan masih belum selesai sehingga kini.

Dalam perkembangan terbaru, Anwar sekali lagi gagal dalam cubaan untuk mengenepikan peguam Umno, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwaraya dalam kes liwat beliau apabila Mahkamah Rayuan hari ini menolak penggunaan akuan bersumpah Datuk Mat Zain Ibrahim yang juga seorang bekas pegawai tertinggi polis.

Sumber: TheMalaysianInsider

0 comments:

top