KUALA LUMPUR 21 JAN: Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) Kementerian Industri & Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengekalkan sistem pemberian permit import (AP) yang menguntungkan kroni.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, kerajaan terus berdolak-dalih untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan.

“Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi,” kenyataan dipetik.

KEADILAN sebelum ini mendedahkan, anggaran permit import (AP) yang dikeluarkan kerajaan berjumlah 70,000 dengan bidaan setinggi RM60,000 bagi setiap permit.

Namun negara kehilangan hasil sehingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana MiTI sebelum ini hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.

Difahamkan, sejak tahun 2009 kerajaan BN mengutip bayaran RM10,000 bagi setiap AP dan negara rugi sehingga RM50,000 bagi setiap AP.

Sumber: KeadilanDaily

0 comments:

top