SHAH ALAM 22 JAN: Rayuan Putrajaya di Mahkamah Persekutuan terhadap kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu mungkin terhalang kerana salah seorang daripada dua anggota polis yang dibebaskan berhubung jenayah berkenaan dilaporkan ‘hilang’.

Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan selepas rayuannya terhadap sabitan Mahkamah Tinggi diketepikan Ogos lalu.
 
Sejak itu, anggota polis berkenaan tidak menghubungi peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili beliau semasa perbicaraan dan di Mahkamah Rayuan, kata sumber di petik The Malaysian Insider.

Kamarul memberitahu dalam rekod beliau masih mewakili Sirul di Mahkamah Persekutuan “sehingga dan melainkan jika dimaklumkan sebaliknya”.

Peguam itu enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau sudah dihubungi Sirul atau jika bekas anggota polis itu menghubungi peguam bagi arahan untuk mengekalkan beliau sebagai peguam di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, peguam utama, Datuk Azman Ahmad yang mewakili Ketua Inspektor Azilah Hadri berkata, anak guamnya sudah diberikan kelulusan untuk mengekalkan peguam yang sama.

Azman berkata, Mahkamah Persekutuan memberikan salinan petisyen rayuan pendakwa awal bulan ini.

Kedua-dua Sirul dan Azilah masih dalam penggantungan daripada perkhidmatan polis. Mereka sebelum ini bertugas sebagai komando dengan Skuad Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

Peguam dalam kes prosedur jenayah berkata, adalah lebih baik bagi peguam untuk mendapatkan kebenaran daripada anak guam untuk menentukan sama ada perkhidmatan mereka masih diperlukan atau tidak.

“Anak guam mungkin ingin menukar peguam dan itu adalah hak mereka. Peguam tidak boleh menganggap anak guam tetap mahu mengekalkan perkhidmatan mereka,” kata seorang peguam yang enggan dikenali .

Kebiasaannya, rayuan kes jenayah tidak akan diteruskan jika responden tidak menghadirkan diri.

Pendakwa raya boleh memohon waran tangkap daripada Mahkamah Rayuan untuk mencari responden dan membawanya ke mahkamah. Jika ini gagal, mahkamah akan membatalkan rayuan pendakwa raya .

Dalam kes Altantuya, pendakwa raya memfailkan petisyen daripada perayu pada 3 Januari dengan mendedahkan secara terperinci yang bertujuan membatalkan pembebasan Sirul dan Azilah.

Antaranya ialah bahawa sabitan kesalahan kedua-dua komando polis tetap tidak terjejas walaupun tanpa keterangan daripada pembantu peribadi bekas timbalan perdana menteri, DSP Musa Safri kerana beliau hanya sebagai periferal dalam kes berkenaan.

Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 memutuskan kegagalan pendakwaan untuk memanggil Musa melemahkan kes Putrajaya terhadap kedua-dua polis itu.

Pihak pendakwa raya menyenaraikan lima sebab hakim Mahkamah Rayuan adalah salah, daripada segi undang-undang dan fakta, membenarkan kedua-dua polis bebas.

Anggota polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober, dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Kedua-duanya didapati bersalah dan dihukum mati tetapi pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan melepaskan mereka kerana kekurangan bukti.

Sumber: SelangorKu

0 comments:

top