PKR: Harga Naik Kenapa Salahkah Orang Tengah?

PKR hari ini mempersoalkan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyalahkan orang tengah ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kenyataan menteri ini cubaan mengalih pandangan umum daripada isu sebenar, bahawa kenaikan harga barang timbul daripada kegagalan dasar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk menangani kenaikan inflasi yang mendadak,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Fahmi justeru menyifatkan kenyataan Tengku Adnan itu sebagai tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana peningkatan inflasi itu sudah pun diingatkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, kata Fahmi, dalam kenyataannya sebelum ini menyebut, kadar inflasi Malaysia meningkat 2.4 kali ganda dari 1.2 peratus (Disember 2012) kepada 2.9 peratus (November 2013).

Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno semalam dilapor menyelar sikap orang tengah yang cuba mengambil kesempatan memburukkan kerajaan dengan menaikkan harga barang.

Ku Nan: Mereka sokong pembangkang

Beliau mendakwa, orang tengah itu cuba menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan BN dengan menaikkan harga barang yang jelas akan membebankan rakyat.

"Kita sedar banyak orang tengah ini lebih menyokong pembangkang. Apa yang dilakukan adalah buat satu kaedah supaya rakyat benci kepada BN. Ini tidak adil.

“Kenapa hendak buat cara ini," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul bersama komuniti Acheh Malaysia di ibu negara.

Dalam kenyataannya hari ini, Fahmi menggesa Tengku Adnan serta parti pemerintah menghentikan “retorik tidak berasas” dan berusaha mengetengahkan dasar bagi menangani inflasi dengan efektif.

Ia antaranya, tambah Fahmi lagi, menurutnkan harga petrol, memecahkan monopoli perniagaan gula dan penarikan balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta pelbagai yang dicadangkan, seperti tol dan tarif elektrik.

“Sekurang-kurangnya kerajaan Umno-BN wajib menangani ketirisan dan rasuah yang mengakibatkan berbilion ringgit wang rakyat lesap begitu sahaja, seperti yang dilaporkan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini

0 comments:

top