10 Prasekolah Tamil ditubuh Tahun Depan

Petaling Jaya - Kerajaan negeri akan menubuhkan sepuluh buah prasekolah di Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan murid.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, penubuhan prasekolah berkenaan dibuat dengan kerjasama tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, prasekolah berkenaan akan ditubuhkan di lokasi yang sesuai dan beliau menjangkakan 30 hingga 40 buah prasekolah dapat ditubuhkan selepas tiga tahun bagi memenuhi bilangan populasi yang kian meningkat.

"Seramai 42 peratus pelajar Tahun Satu yang memasuki SJKT tidak tahu membaca dan menulis, oleh itu kerajaan negeri akan menubuhkan 10 buah prasekolah pada tahun depan di tempat yang memerlukan."

"Masalah ini berlaku kerana kewangan keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak ke prasekolah swasta. Kita akan memberikan diskaun sebagai usaha menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke prasekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan dana bernilai RM1.6 juta kepada tiga buah NGO yang bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf pendidikan SJKT di negeri ini.

Tiga NGO berkenaan adalah Child Information Learning and Development Centre (Child) menerima cek bernilai RM300,000, Edu-cation Welfare and Research Foundation (EWRF) (RM150,000) dan Tamil Foundation (RM182,250).

Katanya, antara sekolah yang akan dibina prasekolah adalah SJKT Taman Permata dan SJKT Ladang Ampar Tenang, Dengkil; SJKT Ladang Bukit Raja, Klang; SJKT Ladang Sungai Terap, Kuala Selangor dan SJKT Bandar Baru Salak Tinggi Sepang.

Katanya, kerajaan negeri memerlukan kerjasama dan persetujuan daripada pihak sekolah, ibu bapa dan Lembaga Pengelola Sekolah dalam membina prasekolah berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sedang mengkaji cara untuk mendapatkan 40 hingga 50 guru prasekolah bagi mengisi kekosongan dan mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi tenaga pengajar dengan kelayakan tertentu.

"Jika sekolah yang telah ditetapkan untuk ditubuhkan prasekolah tidak bersetuju, kita akan bina di sekolah lain. Pada tahun depan juga kita merancang untuk membina tiga buah prasekolah di kawasan luar bandar antaranya di Ijok dan Klang."

"Bagi mereka yang berminat menjadi guru, kita mungkin menghantar mereka mengikuti program anjuran Child untuk memberi kemahiran dan ada juga cadangan daripada pihak swasta agar mengadakan kursus selama setahun kepada bakal guru berkenaan," katanya.

Dr Xavier berkata, Child, EWRF dan Tamil Foundation dipertanggungjawabkan untuk menggunakan dana RM1.6 juta yang disalurkan kerajaan negeri.


Sumber Berita: Sinar harian, 25 Jun 2009, S25


0 comments:

top