Kerajaan Negeri Serius Tangani H1N1

Batu Caves - Kerajaan negeri sentiasa memandang serius masalah virus H1N1 termasuk mengambil beberapa pendekatan agar virus itu dapat ditangani daripada merebak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Berkata, Jabatan Kesihatan negeri bersama pegawai-pegawai Pejabat Daerah di negeri ini telah mewujudkan dan menubuhkan satu jawatankuasa di kawasan masing-masing berhubung dengan kes H1N1.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersiap sedia dan peka dengan masalah ini malah menasihatkan rakyat yang baru pulang dari luar negara serta mempunyai simptom selesema dan sebagainya perlu segera menjalankan pemeriksaan di hospital berdekatan termasuk ahli keluarga mereka.

"Ini penting supaya virus itu tidak dijangkit orang lain dan kerana itu kita telah mewujudkan jawatankuasa yang terlibat dalam hal ini di seluruh daerah negeri ini."

"Dengan adanya jawatankuasa itu, kita sentiasa bersiap sedia termasuk menyediakan tempat kuarantin bagi mereka yang disyaki H1N1," katanya.

Menurutnya, apa yang lebih penting masyarakat sentiasa mementingkan penjagan dan kebersihan supaya tidak ada lagi kes-kes terbaru yang dilaporkan di negeri ini.

"Kita memang mengambil serius hal ini dan sentiasa membincangkan dari masa ke semasa untuk kita mengawal dan mengambil langkah seterusnya dalam menangani isu ini," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 23 Jun 2009, S5

0 comments:

top