Program 'Dharmah' Bantu Warga Miskin

Bandar Bukit Raja - Golongan kurang berkemampuan di daerah ini diminta agar mementingkan pendidikan anak-anak dalam usaha memastikan mereka mendapat jaminan masa depan dengan lebih baik dan terjamin.

EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, adalah amat penting untuk anak-anak mendapat pendidikan formal sewajarnya kerana jika mereka tercicir dari persekolahan dikhuatiri akan mendorong mereka terlibat dengan gejala tidak sihat.

Katanya, masa depan keluarga juga bergantung kepada pencapaian anak-anak dalam bidang pendidikan dan sekiranya mereka berjaya dalam pelajaran akan menjanjikan mereka mendapat pekerjaan yang baik.

"Galakkan anak-anak untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran di sekolah dan pastikan mereka tidak terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka dalam pelajaran.

"Sekiranya mereka cemerlang dalam pelajaran seterusnya akan membuka peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Setelah anak-anak mendapat pekerjaan yang baik, sudah tentu mereka dapat membantu keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Pelancaran Program 'Dharmah' penyampaian bantuan beras kepada golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) anjuran Gabungan Persatuan Masyarakat India (GAMIA) dan Persatuan Kebajikan Penduduk Tamil Kawasan Bukit Raja di Padang Kuil Bandar Baru Bukit Raja dekat sini.

Dr Xavier berkata, sebagai sebuah kerajaan prihatin, kerajaan negeri ini amat mengambil berat soal kebajikan rakyatnya dan menyediakan beberapa program bantuan khususnya kepada golongan kurang berkemampuan termasuk warga emas, OKU dan ibu tunggal.

"Kita juga akan cuba kurangkan khidmat pekerja warga asing kerana kebanjiran pekerja dari luar ini telah banyak menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan.

"Perkara ini berlaku kerana ramai majikan memilih untuk mengupah tenaga kerja warga asing disebabkan majikan boleh membayar gaji yang rendah kepada mereka. Perkara ini tidak adil kepada rakyat tempatan," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menimbangkan cadangan itu dan dalam pada masa yang sama akan melancarkan beberapa projek yang dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di daerah ini.

"Pada masa yang sama kita mahu golongan yang kurang berkemampuan untuk berusaha mengubah nasib keluarga dan cuba meningkatkan taraf ekonomi masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada bantuan daripada kerajaan serta pihak lain.

"Mereka harus berusaha dengan lebih kuat untuk berubah dari kedudukan mereka sekarang. Sebagai permulaan mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai bantuan dan program peningkatan ekonomi yang dikendalikan di pusat-pusat khidmat rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran," katanya.

Pada program itu, Dr Xavier turut menyampaikan sumbangan bantuan berupa 10 kilogram beras, susu dan gula kepada 30 ibu tunggal dari sekitar Flat Reban dan Taman Mutiara Bukit Raja di sini. Bantuan itu akan diteruskan kepada penerima yang sama selama setahun.

Sementara itu, Pengerusi GAMIA, M Mohan berkata, kesemua dana bantuan adalah hasil sumbangan daripada badan korporat serta orang perseorangan dan bantuan yang diberikan itu tidak terhad kepada masyarakat India sahaja.

"Bantuan yang diberikan adalah untuk semua kaum dan usaha membantu golongan kurang berkemampuan sudah menjadi objektif utama persatuan ini sejak ia ditubuhkan pada 1976," katanya.

Hadir sama, Ketua Wanita Keadilan Kawasan Shah Alam, Dr Darayoh Alwi, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Haidar Taslin dan Ketua Kampung Batu Belah, Ajran Abd Hamid.

Sumber Berita: Sinar Harian, 16 Jun 2009 (S18)

0 comments:

top