Bilangan diberhentikan Kerja Turun

Batu Caves - Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, terdapat sedikit penurunan bilangan mereka yang berhenti kerja di negeri ini sehingga bulan lalu.

Menurut beliau, biarpun jumlah itu tidak banyak namun ia memberikan petanda positif temasuk syarikat-syarikat besar dari sektor pembinaan dan perkilangan di negeri ini telah mula mengambil dan menerima pekerja.

"Penurunan itu adalah satu respons yang positif, bagaimanapun kerajan negeri sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku dalam tempoh lima atau enam bulan yang akan datang."

"Kita juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat termasuk inisiatif kepada mereka yang berhenti bekerja," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mewujudkan hotline melalui internet termasuk menyediakan kaunter di setiap tempat pihak berkuasa tempatan (PBT), dan Pejabat Daerah untuk memberi ruang kepada orang ramai yang masih mencari pekerjaan.

Katanya, selain itu, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan Jobstreet bagi memudahkan rakyat di negeri ini untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

"Peluang yang telah diwujudkan perlu direbut dan selain mencari kerja mereka juga boleh berkongsi idea ataupun bertanyakan sesuatu masalah kepada mereka yang berkenaan," katanya kepada Sinar Harian disini semalam ketika melawat sebuah rumah kebajikan disini semalam.

Menurutnya, biarpun kaunter tersebut telah diwujudkan namun sambutan yang diterima kurang memberangsangkan berbanding perkhidmatan internet yang telah disediakan.

"Laporan yang kita terima tidak ramai orang awam yang datang ke kaunter-kaunter yang telah disediakan di setiap PBT dan kita sendiri tidak mengetahui apa puncanya sedangkan hebahan telah dibuat melalui media dan sebagainya," katanya.

Menurut beliau, mereka yang memikirkan untuk berhenti atau menukar kerja dinasihatkan tidak berbuat demikian lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi semasa.

"Memang kita menasihatkan dalam keadaan sekarang tidak ada individu yang berfikir untuk berhenti kerja memandangkan pekerjaan sukar untuk dicari dalam waktu ini," katanya.


Sumber Berita: Sinar Harian, 21 Jun 2009, S3


0 comments:

top