Selangor Catat Kes Denggi & H1N1 Tertinggi

Kes Demam Denggi Masih Tertinggi Di Negeri Selangor

Penyakit Demam Denggi masih merupakan penyakit berjangkit tertinggi yang dilaporkan di negeri Selangor, walaupun notifikasi mingguan menunjukkan sedikit penurunan.

Ini ditegaskan oleh EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu sidang media selepas beliau mempengerusikan sesi mesyuarat bulanan 'Stanco Kesihatan' dengan semua ketua-ketua / pengarah kesihatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai-pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) seluruh negeri Selangor.

Kata Dr Xavier lagi, sehingga pagi tadi, sejumlah 12,652 kes telah dinotifikasikan ke Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Menurutnya, daerah-daerah utama yang melaporkan kes demam denggi ini ialah Daerah Petaling sebanyak 3,882 kes, Hulu Langat 3,020 kes, Klang 2,262 kes dan Gombak 1,616 kes.

"Notifikasi mingguan penyakit demam denggi menunjukkan tren penurunan daripada awal tahun ini, iaitu daripada 875 kes setiap minggu pada minggu pertama bulan Januari 2009 kepada 307 kes seminggu sahaja", katanya.

Dr Xavier berkata demikian pada sidang media mengenai situasi penyakit demam denggi negeri Selangor, di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Bangunan SUK di Shah Alam, hari ini.

"Bagaimanapun katanya langkah-langkah intensif kawalan penyakit berkenaan perlu dikekal, bagi mengurangkan kes demam denggi di Selangor," kata Dr Xavier.

Tempat-tempat utama yang menjadi tumpuan pembiakan nyamuk aedes ialah rumah kedai sebanyak 9,103 kes, tanah atau lot kosong 285 kes, kawasan kilang 175 kes dan tapak pembuangan sampah 88 kes.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan sejumlah 1,562 kompaun membabitkan kutipan denda sebanyak RM421,375.

Dr Xavier menegaskan, masyarakat tempatan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi membendung peningkatan kes demam denggi.


Selangor Catat Rekod Tertinggi H1N1

Selangor merupakan negeri paling banyak mencatatkan kes penularan wabak Influenza A, H1N1, berbanding negeri lain di negara ini.

EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, penularan wabak itu menyebabkan tiga lagi sekolah terpaksa ditutup menjadikan lapan sekolah ditutup sejak seminggu lalu.

Bercakap dalam sidang media di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) di Bangunan SUK hari ini, beliau bagaimanapun berkata, keadaan masih lagi terkawal.

Beliau turut disertai oleh Dr Rosnah Hadis, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Venugopal dan Dr Anita juga dari JKNS dalam sidang media tersebut.

"Situasi sehingga 8.00 pagi ini sekolah yang telah ditutup ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson, Sri Cempaka International School, SRK Assunta 1 & 2, SMK Damansara Utama 2 (1 kelas sahaja ditutup), SMK Wangsa Maju SS2 kelas juga ditutup, SMK Seksyen 9, SMK Abdul 2 Kudat, dan SJK (C) Suun Jin High School," kata Dr Xavier.

Dr Xavier berkata, sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seksyen 9 Shah Alam yang ditutup minggu lalu, dibuka semula pagi tadi selepas didapati bebas daripada penularan penyakit itu.

Beliau berkata, sehingga 28 Jun lalu, Selangor mencatat 124 kes H1N1.

Menurutnya, walaupun wabak penyakit bawaan itu masih terkawal, namun kerajaan negeri harus memastikan penularan wabak itu dapat dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Dr Xavier berharap agar orang ramai tidak panik dan sentiasa peka dengan langkah-langkah pencegahan wabak ini, bagi menghalangnya dari terus menular di kalangan masyarakat.

Sumber: TV Selangor, 29 Jun 2009.

Disunting Oleh,
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL
P.A kepada Dr Xavier Jayakumar
EXCO Negeri Selangor

0 comments:

top