Masyarakat India Perlu Atasi Konflik Dalam Politik

Sabak Bernam - Masyarakat India perlu bersama mencari jalan penyelesaian dalam menghadapi konflik dalam politik bagi mengelakkan berlakunya perselisihan dalam parti.

EXCO Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar, golongan ini diingatkan supaya bekerjasama kerana mereka merupakan golongan minoriti di Sabak Bernam.

Menurutnya, sebagai golongan minoriti, masyarakat India perlu mengelakkan dari berlakunya salah faham penerimaan maklumat tetapi sebaliknya bersama menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Dalam politik, apabila ada konflik atau percanggahan pendapat, mereka perlu duduk semeja berbincang. Ini kerana dengan perbincangan masalah boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas konflik yang berlaku diantara kaum India dalam Parti Keadilan Rakyat Bahagian Sabak di sini.

Dr Xavier berkata, selain konflik, kadar gejala sosial dalam penempatan miskin tidak kira di bandar mahupun di luar bandar adalah sama sahaja dan keadaan ini memerlukan perhatian semua pihak untuk menanganinya.

Katanya, jawatankuasa surau, masjid, kuil dan sekolah juga perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dalam menangani isu sosial.

"Jalan penyelesaian bagi masalah gejala sosial ini perlu dicari dan golongan muda yang disasarkan perlu ada saluran mereka sendiri dalam meneruskan kehidupan."

"Justeru itu, bermula dari awal contohnya dari peringkat sekolah, mereka perlu didedahkan dengan pelbagai maklumat menerusi taklimat."

"Dalam masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan peranan sebagai penjaga dan bukan hanya berharap pada kerajaan semata-mata untuk menangani permasalahan di kalangan anak-anak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier juga mahu pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil berat terhadap kebajikan golongan minoriti yang kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.

Sumber Berita: Sinar Harian, 22 Jun 2009, S20


0 comments:

top