Selamat Menyambut Tahun Baru Cina saya ucapkan kepada semua rakyat yang berbangsa Tiong Hua di negeri Selangor khasnya dan diseluruh negara.
 
Pada 10 Februari ini tibalah tahun ular yang telah dinantikan oleh masyarakat cina sebagai permulaan kalendar tahun baru. Seperti amalan biasa, sehari sebelumnya masyarakat Tiong Hua akan mengadakan majlis makan besar bersama ahli keluarga mereka.
 
Amalan kunjung-mengunjungi diantara satu sama lain pastinya akan diteruskan bagi merapatkan hubungan bukan sahaja dikalangan masyarakat Tiong Hua malah masyarakat lain yang berbilang bangsa dan agama untuk turut meraikan bersama-sama. Ini adalah amalan yang telah kita lakukan setiap kali tibanya perayaan.

Pada tahun ini juga Pilihanraya Umum Ke-13 akan diadakan dan merupakan peluang untuk kita bersama-sama melakukan perubahan demi negara yang lebih makmur melalui perubahan pentadbiran yang akan menyaksikan keadilan dan hak saksama diperjuangkan serta pentadbiran yang serius memerangi rasuah yang pada akhirnya membawa manfaat kepada rakyat seluruhnya. Saya menyeru agar kita semua mengambil peluang ini untuk keluar mengundi dan memilih perubahan demi kebaikan kita semua dan generasi akan datang.
 
Akhir sekali, pesanan saya kepada mereka yang akan membuat perjalanan pulang ke kampung, utamakanlah aspek keselamatan dan sentiasa berhati-hati dijalanraya. Semoga selamat ke destinasi masing-masing. Bagi pihak DUN Seri Andalas saya menjemput anda semua ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DUN Seri Andalas akan diadakan pada 24 Februari 2013 (Ahad), jam 2 hingga 5 petang bertempat di Jalan Bendahara 45, Off Jalan Jati, Taman Mewah, Klang. Datanglah beramai-ramai, kita meriahkan sambutan Tahun Baru Cina ini.

Sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga serta warga kerja DUN Seri Andalas dan rakan-rakan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat, mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia berbangsa Tiong Hua.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
ADUN Seri Andalas
EXCO Kerajaan Negeri Selangor

0 comments:

top