Skim Air Percuma Jimat Penggunaan Air

SHAH ALAM : Penggunaan air di seluruh Selangor telah menurun sejak Pakatan Rakyat melaksanakan skim 20 metre padu air percuma.

Selain itu, lebih 1.3 juta keluarga setahun telah menjimat RM 1,200 sejak lebih empat tahun skim itu dijalankan.

Manakala bagi segelintir pengguna yang masih tidak mendapat skim air percuma, mereka telah menjimatkan sebanyak RM 875 dalam lima tahun. Ini selepas Kerajaan Selangor menyekat kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Perangkaan tersebut dibuat berdasarkan tarif 20 metre padu air sebulan yang berjumlah RM 11.40.

Sekiranya Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mentadbir Selangor dan Syabas dibenarkan menaikkan tarif air, kos air untuk satu isi rumah mulai Januari 2013 adalah RM 18.80 sebulan untuk 20 meter padu.

Selain menjimatkan wang pengguna, skim tersebut telah menyebabkan penjimatan penggunaan air di seluruh Selangor sejak 2007, menurut satu Laporan Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor baru-baru ini.

Jawatankuasa itu mendapati daripada tahap penggunaan sebanyak 35 metre padu untuk satu sambungan pada 2007, penggunaan air telah menurun sebanyak 32.8 metre padu untuk setiap sambungan pada 2011.

Setiap sambungan merujuk kepada bekalan air bermeter yang disambungkan ke premis pengguna domestik.

Penurunan penggunaan sebanyak 2.2 metre padu sebulan itu telah menyangkal kritikan sebelum ini bahawa skim air percuma akan membawa kepada pembaziran.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Charles Santiago, skim tersebut telah mengajar rakyat Selangor untuk berjimat dalam mengguna air kerana tidak mahu membayar bil air RM 11.40 sebulan.

“Biasanya kita menganggap bahawa kalau sesuatu itu diberi secara percuma, ia akan menyebabkan pembaziran. Tetapi sebaliknya berlaku di dalam kes skim air percuma.

“Pengguna yang mendapat 20 metre padu setiap bulan akan berusaha untuk berjimat cermat supaya tidak membazirkan bekalan air dan mereka tidak payah bayar bil air.

“Ini satu lagi pencapaian bagi Kerajaan Selangor,” kata Charles yang juga pengerak Gabungan Menentang Penswastaan Air.

Laporan jawatankuasa itu digubal menggunakan data Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2009, 2011 dan 2012 yang diperakui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Menurut data MWIG pada tahun 2008, penggunaan per sambungan sebulan adalah 34.8 meter padu berbanding dengan 2007 iaitu 35 metre padu.

Selepas 2008 trend menunjukkan penurunan kepada 34.5 meter padu (2009), 34.0m.padu (2010) dan 32.8m.padu (2011).

Sumber: Selangorku

0 comments:

top