Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini telah mengambil keputusan untuk membenarkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 billion bagi memulakan proses pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.

Surat tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas),Puncak Niaga Sd Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) akan dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang ini.

Pengambilalihan ini adalah di antara usaha untuk mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin negeri ini akan berhak menguruskan industri air.

Hasil daripada pengambilalihan ini akan memberi kesan penting terhadap kehidupan rakyat dimana rakyat akan terus menerima kemudahan air percuma 20 meter padu dan tidak akan terperangkap dengan kadar tarif air yang tidak adil serta membebankan.

Rakyat juga akan mendapat pengurusan air yang telus dan cekap dan yang paling penting sekali pengambilalihan ini juga akan menamatkan era monopoli air oleh mana-mana individu atau syarikat.

Kerajaan Negeri percaya proses pengambilalihan ini akan berjalan lancar memandangkan tawaran ini adalah tawaran terbaik oleh rakyat Selangor demi mempertahankan hak air mereka.

Kerajaan Negeri juga berpandangan tawaran tinggi yang kita berikan ini adalah untuk menyelesaikan masalah penswastaan air yang ternyata gagal memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan berharap semua pengusaha air temasuk Tan Sri Rozali Ismail tidak memprejudiskan usaha ini.

Kita juga yakin tawaran ini tidak akan merugikan syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah ini merupakan pulangan 12% setahun terhadap ekuiti – yang mereka miliki berbanding dengan pulangan lazim bagi industri air iaitu hanya 6%. Tambahan pula segala liabiliti akan juga diambil alih oleh KDEB  menerusi Special Purpose Vehicle.

Sementara itu, Kerajaan Negeri telah pada 14hb Februari yang lalu menerima surat jawapan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui yang bertarikh 6 Februari 2013.

Namun, jawapan menteri itu tidak banyak membantu menyelesaikan masalah pengambilalihan ini kerana nampaknya menteri terlalu keliru dengan situasi yang kita hadapi ini.

Menteri gagal memahami peranan yang sepatutnya dilakukan oleh beliau selaku Menteri yang diamanahkan menjaga industri air hingga memberikan beberapa fakta dan pandangan yang bercanggah di antara satu sama lain.

Dalam surat beliau, menteri berkata Kerajaan Persekutuan tiada halangan untuk Kerajaan Negeri memulakan proses pengambilalihan.

Walaubagaimanapun, kelmarin apabila ditanya oleh pihak media beliau dengan tegas mengatakan pengambilalihan yang mahu dilakukan Kerajaan Negeri tidak boleh dijalankan kecuali dengan kebenaran Kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya kita sememangnya sedia maklum bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa penentu selaku pemegang saham emas seperti yang termaktub dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 (Akta 655).

Justeru itu, sejak dari awal lagi kita telah menggesa Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasa tersebut demi kepentingan awam dengan membantu kerajaan negeri melakukan penstrukturan semula setelah kerajaan negeri membuat tawaran kepada syarikat konsesi.

Kerajaan Negeri Selangor konsisten dengan pendirian bahawa hak air harus diserahkan kepada rakyat Selangor dan pengambilalihan ini akan menyelesaikan masalah pengurusan industri air secara menyeluruh.

Kerajaan Negeri percaya rakyat Selangor dan Lembah Klang akan menyokong tindakan berani yang kita lakukan ini kerana antara faktor utama kerajaan hari ini dipilih adalah untuk melakukan reformasi pentadbiran termasuklah dalam industri air.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR

0 comments:

top