Program Ceramah Merdeka Rakyat Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang semalam (21 Februari 2013, Khamis) mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Walaupun program bermula dari jam 8.30 malam, orang ramai telah mulai memenuhi tapak program sejak pukul 7.00 malam lagi. Hadirin terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan peringkat umur serta bukan sahaja dihadiri oleh warga DUN Seri Andalas malah mendapat sambutan dari kawasan berlainan daerah dan negeri. Khemah-khemah jualan makanan dan cenderahati juga didirikan di tapak yang disediakan.
 
Pengacara majlis adalah saudara Azmizam Zaman Huri, Ketua Angkatan Muda Keadilan Kota Raja yang sekali-sekala bertanyakan soalan kepada para hadirin, "Are you ready for Pakatan Rakyat?" dan para hadirin menjawab beramai-ramai "Yes!" dan kemudian "Are you ready for BN?" dan jawapan seperti yang dijangka para hadirin beramai-ramai menjawab "No!".

Antara penceramah yang hadir memberikan ucapan adalah YB Abdullah Sani, Ahli Parlimen Kuala Langat, YB Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kota Raja, Cikgu Jaafar, Yang Di Pertua PAS Kota Raja, YB Dr Xavier Jayakumar, ADUN Seri Andalas selaku tuan rumah.

Orang ramai memberi tepukan gemuruh apabila YAB Tan Sri Dato Seri Khalid tiba kira-kira jam 10.15 malam untuk memberikan ceramah. Walaupun dengan gaya bersahaja Dato' Menteri Besar Negeri Selangor, namun ucapan beliau penuh dengan fakta dan butiran yang menarik minat orang ramai.

Jam 11.00 malam, penceramah yang ditunggu-tunggu iaitu Dato' Seri Anwar Ibrahim tiba dengan sambutan dan sorakan oleh hadirin sambil memegang placard "Anwar PM Ke-7".  Dato' Seri Anwar memberi ceramah dengan penuh semangat dan menjawab tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh BN sebelum ini.

Program berakhir sekitar jam 12.20 tengah malam. YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang datang memberi sokongan dan penghargaan kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan masa dan tenaga untuk menjayakan program ini.




















0 comments:

top