BANDAR TUN RAZAK, 3 FEB: Bantuan RM 120 juta kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh Kerajaan Persekutuan tidak akan menyelesaikan kemelut air Selangor kerana Syabas sebelum ini terbukti gagal mengurus dana yang diberikan kepadanya.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum ini, Syabas telah membelanjakan RM 1.169 bilion – lebih daripada yang diperuntukan di bawah perjanjian – tetapi syarikat itu masih gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 19.98  peratus.

NRW adalah air yang hilang melalui kebocoran paip atau yang telah dicuri. Kadar NRW sekarang di bawah Syabas adalah 33 peratus, kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media di sini.

Pada sidang media pagi tadi, Abdul Khalid menegaskan bahawa masalah pengurusan air, yang pada awal Januari menyebabkan setengah juta penduduk di Lembah Klang tidak dapat bekalan, hanya boleh diselesaikan dengan penyusunan semula.

“Kerajaan Persekutuan tahu mengapa penyususnan semula industri air perlu dilakukan. Pemberian RM120 juta tidak menyelesaikan masalah Syabas.

“Syabas dan syarikat operator (konsesi) air mesti disusun semula untuk menyelesaikan masalah penghantaran air dan Non Revenue Water (NRW) ” katanya pada satu sidang media sempena lawatan kerja ke Parlimen Bandar Tun Razak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM 120 juta kepada Syabas.

Selain itu, Abdul Khalid membidas kenyataan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mendakwa tarif air yang rendah di Selangor menyebabkan rakyat di negeri ini menyalahgunakan air.

“Kenyataan Peter Chin dikatakan air di negeri ini murah sehingga mereka (rakyat) menyalahgunakan air ini adalah tidak berasas. Melalui kajian kita dari tahun 2004 sehingga 2011, purata penggunaan air berkapita tidak meningkat.

“Tidak meningkat menunjukkan tidak ada kenyataan orang salah gunakan air,” ujarnya lagi.
Abdul Khalid menegaskan, keperluan asas seperti air dan elektrik tidak boleh diuruskan dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya ia mesti diuruskan dengan tujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun kita boleh menentukan tarif bayaran tapi kita kena menentukan tarif yang tidak membawa kepada keuntungan terlalu banyak kerana keuntungan (terlalu banyak) ini akan memeras (rakyat).

“(Ini menunjukkan) ada perbezaan polisi pengurusan antara Peter Chin dengan saya,” tambah Abdul Khalid.

Minggu lepas, Kerajaan Negeri mengumumkan akan memulakan proses pengambilalihan perkhidmatan pengedaran dan rawatan air daripada Syabas dan tiga lagi syarikat konsensi.

Usaha tersebut sebahagian daripada dasar penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top