Sementara saya mengalu-alukan kerjasama dua hala yang lebih harmoni di antara Malaysia dan Singapura, pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membina sistem keretapi laju menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura membuktikan sekali lagi pentadbiran beliau membelakangkan kebajikan dan keperluan rakyat terbanyak.

Lebih dari itu, beliau sewajarnya diingatkan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang hampir tamat mandatnya, pentadbiran beliau tidak boleh menandatangani apa-apa perjanjian yang melibatkan komitmen kewangan jangka panjang yang besar dan membebankan rakyat. Kebelakangan ini, saya khuatir dengan pengumuman projek dan pembelian yang mungkin akan mewariskan kerajaan baru kelak dengan pelbagai implikasi kewangan yang merugikan negara dan rakyat.

Fenomena ini tidak ubah seperti tindakan Tun Abdullah Badawi yang menandatangani beberapa perjanjian dan komitmen dengan Brunei di penghujung pentadbiran beliau dalam keadaan yang tergesa-gesa, termasuk menyerahkan Blok L dan M yang pulangan hasil minyaknya mencecah berbilion ringgit.

Kecenderongan sama yang dipamerkan oleh Dato’ Seri Najib akan menguatkan persepsi rakyat bahawa Barisan Nasional tidak yakin dapat bertahan sebagai Kerajaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke-13, maka pelbagai konsesi dan kontrak dianugerahkan yang dikhuatiri hanya menguntungkan kroni.

Pengumuman sistem keretapi laju KL – Singapura ini juga wajar dilihat dalam konteks yang sama. Projek ini dicadangkan oleh YTL, konglomerat yang cukup rapat dengan Barisan Nasional. Seperti mana konsep penswastaan MRT yang pada mulanya dikatakan hanya melibatkan wang swasta, akhirnya keseluruhan kos projek ditampung oleh rakyat melalui pinjaman yang dibuat Kerajaan Persekutuan.

Beberapa tahun lalu, YTL menganggarkan kos projek keretapi laju ini mencecah RM8 bilion. Saya yakin kos itu telah meningkat berlipat kali ganda menjelang 2013 dan dianggarkan mencecah RM13 bilion. Saya percaya akhirnya kos ini akan ditanggung oleh rakyat, seperti mana yang berlaku dalam kesemua projek penswastaan sebelum ini.

Sebab itu, rakyat perlu menilai pengumuman projek keretapi laju ini dalam konteks komitmen RM13 bilion yang bakal ditanggung oleh rakyat.

Saya yakin pelaburan sebegitu besar lebih diperlukan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam antara bandar (inter city public transportation system) bertujuan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian. Oleh yang demikian, keutamaan negara sepatutnya membina sistem keretapi laju antara bandar yang menghubungkan bandar-bandar utama dari Perlis ke Johor Bahru, serta menghubungkan Pantai Timur dari Kelantan ke Pantai Barat.

Kos RM13 bilion ini sudah tentu mempunyai lebih makna kepada rakyat apabila keretapi laju dapat mengurangkan masa perjalanan antara bandar-bandar besar negara. Kurangnya pergantungan kepada kenderaan persendirian bermakna kurangnya kesesakan lalu lintas dan penurunan kos subsidi bahan api negara.

Manifesto Pakatan Rakyat membuat komitmen khusus untuk membina sistem keretapi laju antara bandar dalam tempoh jangka panjang secara berperingkat. Pendekatan mendahulukan rakyat ini terus menjadi perbezaan utama di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

0 comments:

top