Selangor Kutip Hutang, Bukan “Bailout” Talam

SHAH ALAM, 4 SEPT: Laporan firma audit, KPMG Transaction Restructuring Sdn Bhd (KPMG) mendapati keputusan Kerajaan Selangor mengutip hutang bernilai RM392 juta daripada Talam Corporation (Talam) sebagai satu keputusan komersil yang baik.

KPMG juga berkata usaha mengutip hutang itu bukan satu tindakan “bailout” di mana kerajaan negeri menggunakan duit rakyat untuk menyelamatkan sebuah syarikat daripada runtuh.

Laporan tersebut adalah bukti terkini yang menyangkal kritikan pemimpin Umno-BN terhadap proses pengutipan Talam itu yang mereka mendakwa satu “bailout”.

Sebaliknya dalam isu ini, Talam merupakan pihak yang perlu membayar setiap sen dari hutangnya kepada kerajaan negeri tanpa sebarang pengecualian.

Hutang tersebut merupakan hutang yang gagal dikutip oleh Kerajaan Negeri ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

Proses ini berbeza dengan tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN yang pernah “bailout” syarikat kroni mereka yang sakit seperti Perwaja Steel, Renong dan Time Engineering.

Selain itu, KPMG juga mendapati usaha tersebut telah dilaksanakan dengan tertib, mengikut undang-undang, beretika serta menjaga kepentingan negeri, anak syarikat dan rakyat Selangor.

Laporan audit yang diumumkan pada sidang akhbar selepas mesyuarat exco baru baru ini, menyebut penyelesaian hutang Talam itu dilaksanakan menerusi pelbagai mekanisma.

“Penyelesaian hutang ini dilaksanakan menerusi penyelesaian aset melibatkan sembilan plot tanah, dua hartanah, 60 peratus saham dalam anak syarikat Talam serta (wang) tunai.

“Perjanjian penyelesaian dengan Talam ini adalah semata-mata bertujuan mengutip hutang,” menurut petikan laporan firma audit itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KPMG Advisory Unit Chan Siew May dalam sidang media sama pula berkata, semakan yang dibuat tidak berdasarkan mana-mana tuduhan.

Abdul Khalid dalam sidang media itu turut berkata, laporan tersebut akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada November akan datang sebelum diedarkan kepada orang ramai.

Selain itu Abdul Khalid juga mengumumkan perlantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua sebagai jurucakap rasmi bagi Kerajaan Negeri berhubung isu ini.

Turut diberi kepercayaan sebagai jurucakap dalam isu sama adalah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top