Xavier : Kenapa PDRM Bersikap Dwi-Standard?

PETALING JAYA, 4 SEPT: Ketiadaan anggota beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keselamatan awam ketika sambutan ambang kemerdekaan peringkat Selangor menggambarkan sikap dwi-standard.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata tindakan yang mengecewakan Kerajaan Negeri itu tidak menggambarkan slogan ‘Tegas, Adil dan Berhemah’.

“Kita mahu, pihak polis bertindak adil berdasarkan slogannya, ‘Tegas, Adil dan Berhemah’ dan bukannya hanya bertugas apabila melibatkan program yang diadakan oleh Umno-BN sahaja dan pemimpin kerajaan pusat sahaja,” kata beliau.

Menurut Dr Xavier, tiada seorang pun anggota polis beruniform kelihatan bertugas dalam acara sambutan yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Ogos 30.

Beliau turut berkata tindakan polis itu telah menyebabkan keselamatan orang ramai, pemimpin kerajaan negeri dan kakitangan awam terancam.

Menurutnya pihak polis sepatutnya mengutamakan keselamatan awam dengan tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi unsur-unsur kepentingan politik mana-mana pihak.

Xavier sekali lagi melahirkan rasa kecewanya apabila PDRM dan Angkatan Tentera Laut Malaysia menarik diri dari acara perbarisan sambutan itu pada saat akhir.

“Adakah mereka menerima arahan dari ‘tangan-tangan di atas’ untuk menarik diri dari menyertai program anjuran kerajaan Pakatan Rakyat?

“Ini jelas menunjukkan bahawa walaupun kita sudah 55 tahun merdeka, kita sedih kerana institusi keselamatan masih tidak bebas dan terus dijajah,” ujarnya lagi.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top