SELANGOR 15 SEPT : Skim Caruman Wanita Malaysia yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara mendapat sambutan yang meluas di kalangan wanita yang ditemui semalam.

Rata-rata mereka menyifatkannya rancangan itu, termasuk galakkan kepada suami untuk membuat caruman khas kepada isteri setiap bulan sebagai satu jaringan keselamatan atau “safety net” bagi surirumah.

Rosniza Hamad, 31, seorang surirumah, berkata langkah itu mampu menjamin sumber kewangan wanita sekiranya sesuatu terjadi kepada suami.

“Andaikata terjadi perkara tidak diingini seperti kematian, penceraian atau kemalangan, sekurang-kurangnya caruman tersebut dapat membantu wanita terutama golongan tidak berkemampuan,” ujarnya.

Siti Julia Mohamad Rasid, 26, menambah seharusnya langkah bijak tersebut dilaksanakan segera demi menjamin masa depan wanita dan keluarga.

“Saya sangat setuju dengan cadangan tersebut dan berharap agar ia dapat dilaksanakan dengan telus demi masa depan wanita dan anak-anak agar lebih terjamin,” jelas beliau yang merupakan seorang pengusaha kedai runcit.

Caruman Wanita Malaysia itu melibatkan pelaburan RM 50 setiap bulan dari kerajaan pusat ke dalam akaun surirumah yang berpendapatan RM1,500 ke bawah.

Manakala golongan suami akan digalakkan untuk melabur minima RM 10 setiap bulan ke dalam akaun isteri mereka.

Skim-skim tersebut merupakan antara cadangan-cadangan di dalam Agenda Wanita Malaysia Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Sept 13 di Shah Alam.

Kedua-dua program tersebut akan dilaksana sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia selepas pilihanraya ke-13.

Inisiatif lain Agenda tersebut termasuk Agensi Hak Sama Rata bagi memastikan kesamarataan antara wanita dan lelaki di dalam mendapat peluang pekerjaan dan struktur gaji di dalam sesebuah bidang pekerjaan.

Seorang bekas pekerja swasta, Hasina Yop, 28 yang kini aktif dengan bisnes atas talian berkata inisiatif-inisiatif tersebut mampu memartabatkan kedudukan wanita seiring dengan kaum lelaki di negara ini.

“Menyamaratakan tangga gaji dan prestasi antara wanita dan lelaki itu sangat saya alu-alukan.

“Dengan itu, saya pasti wanita akan lebih yakin untuk memajukan diri dan bersaing dengan lelaki tanpa rasa seolah dianak-tirikan lagi,” ujarnya yang bakal menimang cahaya mata kedua.

Inisiatif lain bagi membantu wanita ialah menggubal Akta Gangguan Seksual yang khusus serta menubuhkan Suruhanjaya Keganasan Rumahtangga.

Agenda tersebut juga memperkenalkan skim Pemilikan Rumah Pertama Wanita yang bertujuan mengalakkan wanita memilik rumah sendiri.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top