Bajet Sogokan Tidak Akan Bantu Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Pakatan Rakyat (PR) menjangkakan satu bajet berbentuk ‘imbuhan politik’ akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang ditemui berkata PR mengingatkan kerajaan supaya membentangkan bajet bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat meskipun dunia menghadapi masalah ekonomi.

“Bajet yang akan sarat dengan sogokan imbuhan politik untuk mendapatkan sokongan.  Namun menjadi tanggungjawab Pakatan untuk mengingatkan kerajaan.

“Apa juga dasar yang diambil dalam bajet ini fizikalnya bukan dasar ‘One-Off’, sogokkan satu kali begitu tetapi harus menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau yang juga MP Gombak menegaskan, perkara penting yang perlu diberi penekanan adalah corak perbelanjaan boros negara perlu dihentikan serta merta bagi mengelakkan pembaziran.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kerajaan ingin ‘meniru’ cadangan yang dikemukakan dalam belanjawan PR asalkan memberikan manfaat kepada rakyat.

Pembentangan Bajet 2012 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak akan berlangsung esok tanpa disertakan dengan Laporan Ketua Audit Negara seperti yang dilakukan sebelumnya.

Menurut Azmin, laporan berkenaan akan diberikan kemudian kepada Ahli Parlimen seperti yang dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan beliau melahirkan kekecewaan terhadap perkara berkenaan.

Bagi Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giau berharap agar fokus utama peruntukkan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menangani rasuah dan ketirisan.

“Diharapkan kerajaan akan mengumumkan projek pembangunan infrastruktur tanpa ketirisan.

“Kita berharap kos pengangkutan dapat dikurangkan, tol dikurangkan dengan matlamat menghapuskan tol pada masa hadapan.

“Mengenai harga kereta boleh dikurangkan untuk menjimatkan perbelanjaan dan diharapkan juga tiada pengurangan bajet untuk pendidikan,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top