SHAH ALAM : Penganjuran Majlis Sambutan Kemerdekaan Ke- 55 peringkat Selangor terbukti mengikut lunas amalan dan prosedur yang diamalkan sejak bertahun-tahun.

Merujuk rekod Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, DYMM Sultan Selangor hanya pernah sekali dijemput iaitu pada tahun 2007.

Rekod yang diperolehi sehingga tahun 2003 menunjukkan hanya Menteri Besar bertindak sebagai tetamu kehormat pada sambutan ambang Merdeka pada setiap malam 30 Ogos.

Bukti ini menunjukkan bahawa sejak dari pentadbiran Umno-BN lagi sebelum 2008, Sultan Selangor tidak dijemput untuk menyertai acara ambang kemerdekaan.

Menteri Besar Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata Sultan Selangor menerima jemputan pada setiap tahun untuk Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang diadakan pada setiap 31 Ogos sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Jemputan kepada Sultan Selangor pada 2007 itu melibatkan keberangkatan pada acara perbarisan dan perarakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

Abdul Khalid mendedahkan rekod jemputan daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ke pihak Sultan Selangor bagi menjawab persoalan mengapa baginda tidak dijemput ke acara ambang merdeka peringkat Selangor pada 30 Ogos lalu.

Persoalan itu ditimbulkan oleh beberapa pihak baru-baru ini yang mempertikaikan mengapa Sultan Selangor tidak dijemput ke acara tersebut.

“Saya terima penjelasan (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkenaan perkara ini dan saya berterima kasih atas kerja-kerja jawatankuasa berkenaan,” kata beliau.

Abdul Khalid juga menyangkal dakwaan dari bekas Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo yang beliau pernah menjemput Sultan Selangor ke Majlis Sambutan Kemerdekaan.

Katanya tiada sebarang rekod yang menunjukkan Dr Khir pernah menjemput Sultan.

“Buat masa ini tiada sebarang rekod ditemui, mungkin juga sudah terbakar,” jawab beliau secara sinis dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco di sini.

Selain itu, Abdul Khalid berkata tindakan Kerajaan Negeri mengundang Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sebagai penceramah jemputan.

“Tetamu kehormat adalah Menteri Besar, dan Anwar pula hadir sebagai penceramah jemputan.

Sama seperti sebelum ini, kita ada penyanyi jemputan, cuma kali ini kita gantikan dengan penceramah jemputan,” ujarnya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top