Hanya Pihak Kecewa Bangkitkan Isu Air

GOMBAK: Seorang guru yang tinggal di rumah banglow di Sungai Chichin dekat sini hanya perlu membayar bil air paling tinggi pun RM5 sebulan.

Sedangkan sebelum 2008, hampir RM20 diperuntukan untuk bayaran bil air setiap bulan. Isterinya juga seorang pendidik, mempunyai dua anak.

Di Bangi, penduduk yang tinggal di rumah flat kos sederhana dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air hanya mendapat bil bulanan kira-kira RM10 setiap bulan.

Seorang peniaga, Zulkifli Yusoff, 42 berkata, setiap bulan bil air yang diterima tidak lebih daripada RM10, sedangkan sebelum 2008 lebih RM20 sebulan.

“Kebanyakan rumah flat baru disediakan meter air secara individu dan bukan secara pukal. Langkah pemberian subsidi air diberi kerajaan Selangor amat meringankan bebanan rakyat.

“Cuma apa yang berlaku sekarang segelintir pihak yang kecewa dalam politik sahaja yang mengambil kesempatan di atas keengganan Syabas menyediakan meter individu di rumah flat lama.
 

“Mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan Selangor kerana tanggungjawab Syabas menyediakan meter individu dan bukannya pukal sehingga menyusahkan penduduk,” katanya di sini.

Media hari ini melaporkan seramai 2,020 pengguna air di Shah Alam dan Petaling Jaya dilaporkan menuntut ganti rugi hampir RM1.15 juta daripada kerajaan Selangor kerana didakwa gagal menerima subsidi air.

Zul berkata, isu air sengaja dimainkan sebagai usaha memburuk-burukkan kerajaan Selangor yang terbukti mengutamakan kebajikan rakyat negeri tersebut.

Katanya, pihak terbabit seolah-olah memperlekehkan kebajikan yang diterima majoriti rakyat Selangor.

“Saya yakin kumpulan terbabit tidak ramai kerana kebanyakan rumah yang dibina selepas tahun 1990 disediakan meter secara individu,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam di Salak Tinggi memberitahu setiap bulan beliau hanya membayar bil air sekitar RM8.

Kata beliau sepatutnya Umno Selangor turut berterima kasih di atas dasar kebajikan kerajaan negeri sekarang memperkenalkan subsidi air kepada setiap rakyatnya.

Sedangkan katanya, sebelum ini kerajaan BN tidak pernah melakukan perkara itu biar pun mereka mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

“Peliknya apabila kerajaan Pakatan memperkenalkan dasar kebajikan mereka pula kelam kabut. Saya yakin rakyat Selangor tidak mudah termakan hasutan golongan yang kecewa tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dilaporkan memberitahu tidak berhasrat melaksanakan program pemberian air "1,000 liter pertama percuma" kerana ia menggalakkan pembaziran.

Timbalan Menteri, Noriah Kasnon, berkata caj yang dikenakan kepada rakyat masih berpatutan dan tidak membebankan berdasarkan tarif air sedia ada di semua negeri.

Sumber: HarakahDaily

0 comments:

top