SHAH ALAM, 12 SEPT : Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal berhadapan kenaikan harga tambang perjalanan sekiranya penswastaan kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) berlaku.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Kakitangan KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang membantah pengambilalihan KTMB kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, rakyat sudah pasti akan menerima kesan pengambilalihan memandangkan setakat ini tambang perjalanan KTMB merupakan paling murah berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti LRT dan Monorail.

“Adakah tambang ini tidak dinaikkan? Bagaimana pula dengan kargo? Jadi inilah implikasi kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan usaha menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC.

Rafizi mendakwa usaha ini satu percubaan untuk membentuk sistem monopoli dalam operasi pengangkutan awam dan industri logistik.

Selain itu, Abdul Razak berkata pengambilalihan ini akan menyebabkan kakitangan KTMB bakal kehilangan beberapa faedah.

Menurutnya, faedah kakitangan KTMB hampir dilucutkan semasa syarikat itu diambilalih oleh Marak Unggul Sdn Bhd dari tahun 1997 sehingga tahun 2002.

“Pengalaman dengan Marak Unggul, kakitangan terpaksa buat kerja-kerja yang bukan bidang spesifikasi kerja.

“Kedua, cubaan menarik beberapa keistimewaan syarat-syarat pekerja keretapi. Ketiga faedah hospital, di mana sebelum itu kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh KTMB.”

Dakwa Abdul Razak, Marak Unggul cuba meletakkan had RM 1,000 terhadap kos perubatan hospital.

Abdul Razak berkata, usaha untuk mengurangkan faedah kakitangan KTMB gagal apabila Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek campurtangan.
Akhirnya pengambilalihan Marak Unggul dibatalkan pada 2002 dan Kerajaan Pusat mengambil kembali KTMB.

Ujar beliau lagi, perkara ini tidak mustahil berlaku seperti di dalam kes pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom, sebuah lagi syarikat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Tegas Abdul Razak, adalah lebih baik KTMB kekal dalam situasi sekarang atau dikembalikan kepada sektor awam agar tidak menjejaskan semua pihak.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top