MPK : Penduduk Klang Harus Siap Sedia Banjir

KLANG 29 OGOS : Penduduk sekitar Klang khususnya kawasan tepi sungai dan yang pernah banjir harus bersiap sedia terhadap kemungkinan berlaku banjir lagi minggu ini.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi amaran bahawa banjir dijangkakan boleh berlaku dari 31 Ogos hingga 5 September depan berdasarkan laporan kaji cuaca.

Pemangku Yang Dipertua MPK, Mohd Ihsan Mukri berkata taburan hujan lebat sepanjang tempoh itu boleh menyebabkan banjir besar seperti 20 Mac lalu.

“Mengikut laporan itu juga, paras air sungai dan laut meningkat ke paras 5.3 meter. Jika dilihat masa kini paras air sudah mencecah 4.8 meter,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPK, di sini.

Bagaimanapun, pihak MPK dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sudah bersiap sedia dalam menghadapi kemungkinan itu.

“Pihak kami sudah siapkan tenaga kerja 24 jam, logistik dan sebagainya. Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol kami di 1800-88-23-826,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama dari penduduk supaya membersihkan saliran longkang di rumah supaya tidak tersumbat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerja-kerja menaiktaraf dan menyelengara sistem saliran, mendalamkan dan meluaskan tiga sungai di Klang akan bermula akhir September depan dan dijangka siap awal tahun depan.

Ia sebagai langkah mengawal bencana banjir dan kos keseluruhan projek terbabit meliputi RM 5.2 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

Tiga sungai itu melibatkan Sungai Aur, Sungai Sireh dan Sungai Pileh yang kini semakin sempit dan cetek serta tidak mampu menampung limpahan air ketika hujan lebat.

Beliau berkata MPK juga akan membina kolam tadahan di Bayu Perdana agar dapat mengatasi masalah banjir di kawasan itu.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top