PETALING JAYA, 14 OGOS : Dana berbilion ringgit yang akan digunakan untuk membina projek Langat 2 harusnya digunakan untuk membaiki sistem agih air Selangor supaya air terawat yang dibazirkan setiap hari dapat diselamatkan.

Ini kerana air yang dicuri atau hilang akibat paip yang bocor, atau dikenali sebagai NRW lebih 30 peratus dari jumlah keseluruhan air terawat yang diedarkan di Selangor.

Cadangan itu disuarakan oleh Abdullah Mohamad, seorang peserta awam pada Majlis Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Di laporkan sebelum ini, Kerajaan Pusat ingin meneruskan projek Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 bilion bagi memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Masalah dihadapi di logi seperti paip lama yang rosak dan sebagainya, saya rasa perlu dibaiki segera supaya masalah yang timbul dapat diatasi segera.

“Untuk tujuan itu peruntukan bagi projek Langat 2 boleh digunakan bagi kerja baik pulih.

Cara ini lebih bagus. Lagi satu jika kita menghadapi masalah bekalan air terawat maka ia bukan masalah di empangan tetapi masalah Syabas yang gagal membekalkan air kepada pengguna.

Syabas seharusnya berusaha meningkatkan bekalan air untuk disalurkan kepada semua pengguna dan bukannya memikirkan untuk melaksanakan projek Langat 2,” katanya.

Majlis tersebut dipengerusikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua.

Bagi Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, isu utama yang perlu diberikan keutamaan ialah bekalan air mencukupi bgi kegunaan orang ramai.

“Isunya di sini pengguna perlukan air dan pihak berkuasa perlu menyalurkan air mengikut kapasiti ditetapkan. Perancangan mesti dilakukan supaya tidak timbul masalah bekalan air.

“Usaha perlu dilakukan bagi meningkat bekalan air di empangan agar proses air terawat dapat dijalankan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top