SHAH ALAM 13 OGOS : Kerajaan Selangor akan menaja satu kajian psikologi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana khas dan akan melantik badan bagi mejalankan kajian tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kajian tersebut penting bagi menentukan bagaimana kaedah psikologi dapat mampu membantu mengurangkan kejadian kemalangan yang saban tahun meningkat.

“Contohnya sekarang pusat membeli belah juga menggunakan kaedah psikologi muzik di mana mereka akan memasang lagu yang membuat pengunjung gembira dan senang hati untuk membeli.

“Kita boleh mengambil pendekatan sama juga seperti menggunakan muzik yang mampu menenangkan pemandu dan mendorongnya untuk lebih tenang dan bersabar di jalan raya,” jelas beliau sambil menambah dana yang akan diperuntukkan adalah sekitar RM 30,000.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie ke arah Shah Alam pagi tadi.

Sejurus selesai melancarkan kempen, Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan pek “Kit Balik Raya” kepada para pengguna lebuhraya yang antara lain berisi Edisi Khas Balik Kampung Selangor Kini.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kempen yang diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor ini turut mendapat kerjasama SUK Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Agensi yang turut terlibat adalah Prolintas, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkraf dan Telekom Malaysia.


Sumber: Selangorku

0 comments:

top