Dokumen Saman Syabas Siap Selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 13 OGOS : Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) yang sehingga kini masih belum menjawab tujuh soalan tentang status industri air Selangor.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, tindakan saman ini tetap diteruskan meskipun Kerajaan Pusat bersetuju memberi laluan kepada Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula industri air Selangor.

Saman ini diteruskan kerana Syabas bulan lalu mendakwa akan ‘berlaku krisis air’ di Selangor, kata Charles.

“Sepatutnya Rabu ini (15 Ogos) kami akan mengemukakan tuntutan saman.

“Tapi pihak peguam memaklumkan beliau masih lagi dalam proses menyediakan dokumen. Kita akan failkan selepas Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, CAWP bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar memorandum kepada Syabas bagi menjawab tujuh persoalan berhubung krisis air yang didakwa akan berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah :

1) pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan,

2) bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama,

3) bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas,

4) buku log dan meter tentukur yang disahkan,

5) bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini,

6) penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan

7) bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Syabas adalah syarikat swasta yang dilantik bagi merawat air mentah di Selangor dan mengagihkannya kepada pengguna.

Oleh kerana tidak berpuashati dengan cara pengurusan Syabas, Kerajaan Negeri telah diberi laluan untuk mengambilalih operasi syarikat itu.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top