Menteri KeTTHA Keliru Tentang Kos Langat 2

04 Ogos 2012
Kenyataan Media

Lanjutan Kepada Kenyataan Media Kementerian Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air (KeTTHA) yang dipetik dari sumber BERNAMA bertajuk ‘Isu Syabas : 2 sebab Pusat Tak Timbang Hasrat Selangor’ dan ‘Pusat : Selangor Akui Krisis Air Akan Berlaku bertarikh 3 Ogos, 2012

Sebelum saya membuat ulasan bagi perkara di atas kita mempersoalkan samada Datuk Peter Chin Fah Kui, Menteri KeTTHA keliru dengan menyatakan bahawa kos Langat 2 dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) hanya RM6.225 bilion dan bukannya RM8.65 bilion seperti dakwaan pembangkang yang dipetik dari sumber Bernama pada 31 Julai 2012 yang lalu.

1) Kita ingin perjelaskan disini bahawa angka RM8.65 bilion bukanlah rekaan pembangkang semata-mata tetapi ianya datang dari kenyataan Sutekno Ahmad Belon, Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Air, KeTTHA dalam taklimat Forum Mengenai Isu Bekalan Air yang diadakan di Shah Alam pada 12 Julai yang lalu. Yang lebih menarik beliau menyebut kos projek tersebut ialah RM8.9 Bilion dan ini dipetik dari sumber Bernama.

2) Harus dibangkitkan disini bahawa Peter Chin gagal memaklumkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Selangor terpaksa membayar royalty air sebanyak RM60 juta (sebaliknya Bernama melaporkan RM80 juta) setiap tahun kepada Kerajaan Pahang bagi penyaluran air mentah tersebut.

Apakah Peter Chin takut rakyat mempersoalkan bahawa projek mega bernilai  RM8.65 Bilion ini “terlalu mahal” untuk dibelanjakan oleh Kerajaan Pusat menyebabkan beliau memindanya ke angka RM6.225 bilion agar rakyat merasakan kosnya lebih munasabah?

 3) Apa yang begitu menarik dari DUA kenyataan media yang dikeluarkan secara serentak pada 03 Ogos tersebut ialah KeTTHA seolah-olah berperanan menjadi ‘jurucakap’ bagi mepertahankan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)sebaliknya bermati-matian mematahkan setiap hujah dan penerangan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor dan beberapa ahli EXCOnya berkaitan isu air ini. Harus diingat MB dan barisan EXCO mewakili 5.7 juta rakyat Selangor yang dipilih secara demokrasi dalam PRU 12 yang lepas. Kita mempertikaikan apakah kepentingan Kerajaan Persekutuan terhadap sebuah syarikat yang berkepentingan ‘keuntungan perniagaan’ (profit making) melebihi kepentingan rakyat Selangor teramai.

4) Dari kenyataan media tersebut, KeTTHA juga telah membuat pengesahan bahawa 33 daripada 34 loji rawatan air sedia ada merupakan aset milik kerajaan Negeri Selangor, lantaran Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk “mengambil alih semula” aset-aset tersebut bagi menjaga kepentingan rakyat Selangor kerana Kerajaan Negeri merasakan bahawa loji –loji yang dikendalikan oleh Syabas dan Puncak Niaga didapati tidak beroperasi secara optimum bagi membekalkan air secukupnya kepada rakyat Selangor, KL dan Putrajaya.
Lawatan turun padang oleh YB Ronnie Liu, EXCO Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini mendedahkan bahawa Syabas gagal menyelenggara dengan baik pam-pam air, peralatan dan kelengkapan serta tahap kawalan keselamatan aset tangki air / loji rawatan air milik Kerajaan Negeri yang menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di beberapa tempat.

5) Kita juga mempertikai ‘kesahihan’ kedudukan bekalan air dan kapasiti pengedaran air berdasarkan juta liter sehari (JLH) oleh Syabas , kononnya dari sumber maklumat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana kita berpendapat bahawa SPAN hanya menerima pakai data-data yang dibekalkan oleh Syabas dan harus diingat bahawa Syabas adalah pihak yang berkepentingan dalam isu ini. Berkali-kali kita dan juga beberapa NGO sarankan agar diadakan audit air oleh sebuah agensi bebas bagi mendapatkan fakta sebenar perkara ini.
Kita juga mempertikaikan sikap ‘berkecuali dan bebas’ SPAN dalam isu air ini. Berdasarkan Akta SPAN 2006 ( Akta 654) apa yang jelas ialah SPAN sendiri melapurkan diri (reporting) kepada Menteri KeTTHA

6) Kita kurang pasti bagaimana Kerajaan Pusat berkeras untuk meneruskan pembinaan loji Langat 2 dan dilaporkan akan memanggil tender terbuka bulan depan. Kita difahamkan bahawa Peguam Negara (AG) turut diseret untuk ‘campurtangan’ dalam isu ini. Kita kurang pasti samada pemimpin-pemimpin Kerajaan Pusat memahami dan menghayati konsep dan moral sistem ‘Federalisme’ yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Yang jelas ialah hak terhadap sumber air, hutan, batuan dan galian dan hal ehwal melibatkan tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Negeri.

YB DR XAVIER JAYAKUMAR
04 Ogos, 2012

0 comments:

top