PETALING JAYA  2 OGOS :  Pakatan Rakyat (PR) akan mengutamakan pelaksanaan sistem pengangkutan awam yang cekap dengan kadar munasabah sebagai rancangan kerangka dasar automotif negara jika berjaya menawan Putrajaya.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerangka baru dasar automotif negara ini adalah permulaan kepada reformasi menyeluruh sistem pengangkutan negara yang bermula dengan keutamaan mengurangkan beban hutang rayat.

“Rakyat Malaysia telah menanggung hutang dan terbeban dengan kos pengangkutan yang berganda setelah sekian lama. Masanya sudah tiba untuk menghentikan ketidak adilan ini dengan merombak dasar automotif negara demi kebajikan rakyat,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Jelas Anwar, perlaksanaan ini dibuat di kota-kota utama Malaysia seperti Kuala Lumpur yang masih belum memiliki sistem pengangkutan yang baik.

Perkara asas yang perlu diambil kira adalah dasar automotif baru perlu melindungi kebajikan pekerja sektor automotif. Selain itu, dengan menambah baik sistem pengangkutan awam dengan kos yang munasabah, maka sasaran penggunaan kenderaan persendirian akan berkurangan dan jumlah gunapakai beban api dijangka akan menurun.

Melalui kerangka dasar baru ini, PR mensasarkan sistem pengangkutan awam yang cekap di rantau Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun dengan penumpuan terhadap sistem pengangkutan awam yang tidak menelan belanja besar tetapi dibuktikan berkesan terutamanya rangkaian bas dalam bandar yang kini diabaikan oleh pentadbiran sedia ada.

“Rangkaian keretapi di antara bandar yang lebih cekap dan murah agar penggunaannya boleh ditingkatkan berbanding dengan keadaan sekarang. Penstrukturan semula Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan pemodenannya akan menjadi salah satu fokus utama pentadbiran baru di Putrajaya,” ujar Anwar lagi.

Anwar menambah, insentif akan terus diberikan kepada syarikat-syarikat yang membangunkan dan mengilang kenderaan mesra alam di negara ini dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia mempunyai nisbah kenderaan mesra alam per kapita tertinggi di rantau Asia Tenggara.

Sumber: Selangorku

0 comments:

top