Tiada Sebab Tangguh Gaji Minima

SHAH ALAM 15 NOVEMBER : Kerajaan Negeri Selangor tetap meneruskan rancangan merintis perlaksanaan gaji minima disebalik desas-desus negara berkemungkinan menghadapi kemelesetan ekonomi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Suhaimi Shafiei berkata jumlah rizab tunai yang mantap dan prestasi anak-anak syarikat yang lebih baik membolehkan program perintis dibuat di 4 anak syarikat kerajaan negeri.

Tegasnya, faktor-faktor ini selain dari tekanan kos kehidupan semasa mendorong Pakatan Rakyat untuk tidak menangguhkan skim gaji minima.

“Jika kita tidak tetapkan gaji berpatutan untuk rakyat pada waktu sekarang, bila lagi kita mahu mulakan?” jawab Suhaimi ketika diwawancara program Fokus Berita TV Selangor.

Media melaporkan Kerajaan Negeri Selangor mahu memperluaskan skim gaji minima meliputi semua penjawat anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Kerajaan Selangor mempunyai tidak kurang dari 50 anak syarikat. Melalui skim gaji minima, Suhaimi berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Perbadanan Permodalan Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd menganjak standard penggajian pekerja di negeri Selangor.

“Kita mulakan di empat syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Saya percaya kerajaan negeri mempunyai perancangan bukan sahaja menetapkan gaji minima pada RM1,500 untuk semua penjawat awam, tetapi juga cara terbaik untuk mendapat hasil negeri bagi menampung gaji minima untuk semua kakitangan negeri Selangor,” tegas Suhaimi.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri memperuntukkan dana RM10 juta untuk menjayakan skim gaji minima di anak-anak syarikat yang tidak sekukuh empat syarikat gergasi itu.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan menyeru kerajaan-kerajaan negeri yang lain menuruti jejak Selangor merintis perlaksanaan gaji minima.

MTUC berpendapat ekonomi bukan lagi mewujudkan peluang pekerjaan sahaja, tetapi juga menyediakan kerja-kerja berkualiti dengan gaji yang selaras dengan perbelanjaan kediaman, kesihatan, pendidikan pengangkutan, makanan dan kekeluargaan.

“Kita sasarkan juga meletakkan gaji minima untuk kakitangan awam Gred 27 (bawah RM1,500) dan kebawah. Kita mungkin tidak mampu untuk menaikkan gaji mengikut skala yang ditetapkan suruhanjaya perkhidmatan awam, tetapi kita boleh tambah melalui Elaun Sara Hidup, Elaun Perumahan dan sepertinya,” kata Suhaimi.

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dilaporkan berkata kenaikan kos pembayaran gaji akibat dari perlaksanaan gaji minima boleh diseimbangkan dengan produktiviti yang lebih tinggi, latihan kemahiran pelbagai, dan kestabilan tenaga kerja.

Sumber: Selangorkini

0 comments:

top