Program Jom Shopping Dapat Sambutan Hangat Rakyat

SHAH ALAM, 10 NOVEMBER : Sejak diperkenalkan hampir tiga bulan lalu, seramai 160,000 orang warga emas berjaya didaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk menyertai program Jom Shopping anjuran Kerajaan Negeri.

Jom Shopping adalah salah satu agenda kerajaan negeri Selangor membalas jasa golongan warga emas yang terkandung di dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Melalui program ini, setiap peserta di beri wang belanja RM100 oleh kerajaan negeri untuk membeli barang keperluan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri bakal melancarkan program lanjutan menjelang tahun hadapan setelah program pertama untuk golongan warga emas ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Nampak nilai RM100 macam kecil. Pasaraya juga menyediakan saguhati sebagai nilai tambah kepada warga emas. Jumlah ini dilihat sedikit kerana kita melihat dari sudut nilai semata-mata,” beliau berkata demikian bagi menjawap soalan Adun Teluk Datuk Phillip Tan Choon Swee.

Ujar beliau, pada peringkat awal sahaja setiap Dun boleh menghantar 200 orang setiap bulan namun kini bilangannya bertambah memandangkan jumlah yang berdaftar semakin meningkat.

Dalam perkembangan yang sama, sehingga Oktober tahun ini, sejumlah 20,382 warga emas yang mendaftar telah dibawa berbelanja di pasaraya-pasaraya terpilih.

Daripada jumlah penyertaan itu, Kerajaan Negeri dijangkakan akan membelanjakan sejumlah RM2,038,200 keseluruhannya.

Namun sejak penganjuran Jom Shopping, Kerajaan Negeri telah membayar RM1,042,000 kepada semua pasaraya yang terlibat dan bakinya akan menyusul.
Sumber: Selangorkini

0 comments:

top